AMPANG – Sepasang kekasih ditahan kerana dipercayai mencuri tujuh utas jam tangan mewah bernilai RM300,000 ketika berada di rumah rakannya di Taman Melawati semalam.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian itu disedari seorang wanita, pemilik rumah berkenaan yang baru tiba selepas mengerjakan ibadah haji apabila mendapati tombol bilik tidurnya rosak.
Anaknya memaklumkan beberapa rakannya telah diajak ke rumah untuk berparti.
Susulan kejadian itu, pada jam 1.30 tengah hari, sepasukan polis telah membuat serbuan di rumah di Subang Jaya dan menangkap seorang wanita yang bekerja sebagai ahli muzik bebas dan seorang pelajar lelaki universiti awam.
Suspek wanita mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan dadah dan ujian air kencing kedua-duanya positif dadah jenis THC.
“Dalam serbuah berkenaan Pihak polis berjaya merampas barangan yang dicuri iaitu sebanyak enam utas Jam tangan, Skate Board yang digunakan memukul anak pengadu, Taxer lamp, dan beberapa buah telefon bimbit serta barangan lain.
“Berdasarkan hasil siasatan, suspek bersama lebih kurang 8 hingga 10 orang rakan-rakan anak pengadu telah dijemput oleh anak pengadu untuk pergi ke rumah untuk berparti dan lepak makan.
“Salah seorang suspek yang masih bebas telah tanya anak pengadu berkenaan urusan pinjaman wang yang dibuat oleh anak pengadu dengan menggunakan nama suspek dan kemudian tercetusnya pertengkaran sehingga anak pengadu dipukul. Anak pengadu turut mengalami lebam di bahagian mata.
“Suspek kemudian telah masuk ke dalam bilik pengadu dan mengambil barang-barang milik pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 25 Julai ini.
Usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas masih dijalankan.
Kes disiasat di bawah Sek 380 Kanun Keseksaan kesalahan mencuri dalam bangunan. Jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sepuluh tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang membawa hukuman diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua – duanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette