Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pihak penganjur konsert Kumpulan The 1975 akan dipanggil polis susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy semasa persemahan konsert di ‘Good Vibes Festival 2023’ di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, pihak penganjur tersebut akan dipanggil memberi keterangan pada petang ini.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman turut memaklumkan, pihak pengajur telah bertindak menghentikan persembahan kumpulan terbabit dengan segera susulan insiden tersebut.

“Berikutan ada penyanyi yang berkelakuan tidak senonoh, pihak penganjur telah mengambil tindakan menghentikan persembahan mereka (The 1975) dengan dengan segera.

“Pihak pihak penganjur juga akan dipanggil oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya secara ringkas ketika dihubungi, hari ini.

vokalis The 1975, Matty Healy bertindak mencium pemain bassnya, Ross Mcdonalds di atas pentas Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pihak penganjur serta artis yang datang ke negara ini perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan aksi bercium yang dilakukan vokasi, Matty adalah biadab dalam konsert tersebut.

Beliau juga memaklumkan akan memanggil pihak penganjur esok bagi memberi penjelasan berhubung perkara tersebit bersama mendapatkan laporan daripada pihak berkuasa.

Matty yang terkenal dengan aksi biadab ketika mengadakan persembahan malam tadi didakwa memegang botol arak di atas pentas, selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Malah vokalis itu juga membuat ucapan menghina undang-undang berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia dan mencium pemain bassnya, Ross Mcdonalds di atas pentas.

Bagaimanapun, ketika dipertengahan persembahan, pentas tiba-tiba bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka telah disekat daripada meneruskan konsert di Malaysia.

Matty kemudiannya meninggalkan pentas sebelum diikuti oleh anggota The 1975 yang lain dan krew mereka. – MalaysiaGazette