KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) terhutang budi dengan UMNO kerana sokongan parti membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk dan berjaya mentadbir negara selama lapan bulan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, penghargaan juga perlu diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, pendirian Ahmad Zahid yang kuat telah berjaya memberi sokongan padu untuk memperkuatkan Kerajaan Perpaduan ketika ditubuhkan.
“Ada orang tanya, Anwar you kerja dengan UMNO. Saya hendak beritahu, kalau tidak dengan sokongan UMNO, kita tidak boleh tubuh kerajaan.
“Kalau tidak dengan pendirian Datuk Seri Zahid, sebab itu mereka serang beliau habis-habisan. Kerana sokongan Zahid perkuatkan Kerajaan Perpaduan dan mengalahkan Perikatan Nasional.
“Itulah dendam kesumat mereka tidak habis-habis,” katanya yang juga Presiden PKR.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kita Hulu Kelang bersama PMX di Taman Keramat, di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui pemimpin PKR masih dilabel sebagai barua DAP yang menggambarkan bentuk akhlak buruk mereka yang melemparkan gelaran itu.
Kata beliau, masalah yang timbul bersama DAP hanya timbul ketika pentadbiran 22 bulan sebelum ini di mana kerajaan dan Kabinet yang diketuai perdana menteri lain.
“Yang marah aku kenapa? Sekarang siapa perdana menteri? Saya bertanggungjawab penuh ke atas negara ini.
“Bukan maksud sombong tetapi baik PKR, DAP, UMNO, kita pegang jalan yang lurus. Kamu sakau, dakwa masuk penjara.
“Kami tolong rakyat, kita bangkit dan tingkat usaha bersama-sama. Sekarang saya kata lapan bulan, alhamdulillah. Kita sepakat dan bangun dasar yang baru dalam negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette