Ahli Parlimen Muar merangkap Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Program Platform MG Pemimpin Muda di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden  Ikatan Demokratik Malays (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan segelintir pihak yang selalu mengaitkan dirinya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Muar itu bertegas, sekiranya pemimpin dalam kerajaan beranggapan bahawa Mahathir ada melakukan penyelewengan mereka perlu segera mendakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Syed Saddiq menjawab isu yang dibangkitkan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Atyrah Hani Razali dalam program bual bicara Platform siri pertama anjuran MalaysiaGazette malam tadi.

“Bila Tyra tengkok muka saya, dia tengok muka Dr. Mahathir bukan muka Syed Saddiq. Saya tak tahu kenapa saya perlu jawab, sudahlah saya digelar pengkhianat (oleh mereka).

“Tapi kalau betul ada salah laku, kenapa tanya saya? Tanyalah perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Dulu kata ada berkotak-kotak, bertimbun-timbun salah laku Tun. Siasatlah, kalau salah dakwa, kenapa nak suruh saya selesaikan?

“Tyra kata tak nak hapuskan kroni kapitalism, saya setuju. Laksana akta pendanaan politik, kurangkan pemusatan kuasa. Janganlah tanya saya, Ahli Parlimen Muar (suruh) siasat kes (Mahathir) 20, 30 tahun lepas,” kata Syed Saddiq.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu juga mendesak kerajaan segera melakukan pembaharuan seperti yang dilaungkan oleh pemimpin politik Pakatan Harapan sebelum ini.

Dalam program yang berlangsung di Panggung Eksperimen Universiti Malaya dan sebahagian besar audien terdiri kalangan mahasiswa, Syed Saddiq mengulangi gesaan supaya perdana menteri tidak memegang jawatan lain.

“Dulu kita telah berjaya memisahkan peranan perdana menteri dengan menteri kewangan. Kini perdana menteri memegang (jawatan) menteri kewangan, menteri wilayah, ahli lembaga pengampunan, agensi besar seperti Mitra. Itu namanya pemusatan kuasa.

“Bila kita kritik 1MDB ia bukan soal figura Datuk Seri Najib tetapi bila pemusatan kuasa berlaku tidak ada semak dan imbang akhirnya menyebabkan masalah berlaku. Orang sebaik mana pun tetapi kalau kuasa itu dipusatkan kesilapan boleh berlaku itu yang mahu kita elakkan,” tegas beliau.

Sementara itu Syed Saddiq berkata, ‘politik balas dendam’ antara ahli politik boleh dihentikan sekiranya pelantikan peguam negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan terus di bawah Parlimen.

Turut menjadi ahli panel Platform adalah Ketua Penerangan Pemuda Pas Khairul Nadzir Helmi Azhar dan Pengarah Komunikasi dan Strategi Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin -MalaysiaGazette