KUALA LUMPUR – Seramai 200 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) terlibat dalam program perkongsian ilmu dan inovasi dengan komuniti Gombak dengan inovasi Pertanian Tanpa Cangkul (PTC), baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program ‘Semarak Siswa Madani @ Gombak’ anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membawa inovasi dan idea baharu dari universiti melalui aktiviti demontrasi inovasi serta bicara ikon terpilih.
Katanya, langkah itu merupakan usaha untuk menjalin hubungan antara mahasiswa dan komuniti.
“UPM berkongsi teknologi yang diberi nama Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) hasil inovasi dan pengembangan projek oleh komuniti, pelajar dan pensyarah UPM.
“Seramai 300 komuniti warga komuniti Gombak terlibat dalam program yang diadakan di Dewan Rakyat Batu Caves Selangor,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, program Semarak Siswa Madani @ Gombak yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu membuka peluang kepada pelajar universiti bagi mengembangkan kemahiran, bakat serta melatih untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat.
Sementara itu, menurut pengembang teknologi PTC, Ahmad Shukry Yahya berkata, program itu menggunakan tong plastik biru berukuran 160 liter untuk menanam plot tanaman pelbagai bagi menjimatkan ruang tanah terutama untuk masyarakat bandar.
“PTC merupakan peralatan pertanian bandar yang tahan lima tahun sebagai penyelesaian kepada jaminan keselamatan makanan dengan melibatkan komuniti bandar sebagai petani.
“Untuk sekali tuaian, satu tong PTC boleh menghasilkan purata empat kilo sayur-sayuran,” ujarnya yang merupakan pelajar ijazah sarjana UPM.
Shukry berkata, PTC merupakan salah satu projek Duta Mahasiswa Johor yang disertai oleh Persatuan Kebajikan Mahasiswa Johor UPM yang memenangi Anugerah Projek Inovasi Terbaik Johor dan Anugerah Program Terbaik Negeri Johor di bawah Anugerah Ikon Siswa Johor 2022. – MalaysiaGazette