Onn Hafiz ketika mengadakan lawatan ke tapak projek RMMJ Taman Pagoh Jaya.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 140 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Pagoh Jaya di Pagoh bakal ditawarkan kepada pembeli pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kediaman berharga RM42,000 dan RM80,000 itu akan menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada awal tahun hadapan.

“Projek Taman Pagoh Jaya merupakan projek hasil pemantauan dan penyelarasan dalam Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Penilaian Negeri Johor (PDRC) pada tahun lalu.

“Ia juga adalah antara sebahagian kecil daripada rancangan pembangunan perumahan Kerajaan Negeri yang komited untuk membina 30,000 lagi rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke tapak projek RMMJ Taman Pagoh Jaya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri bersama-sama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan semua agensi berkaitan akan berusaha memperbanyak rumah mampu milik di daerah Muar.

Sementara itu, Mohd Jafni memaklumkan RMMJ Taman Pagoh Jaya itu merupakan antara projek yang dipantau secara agresif selain dibantu dengan kaedah penyelesaian luar kotak melalui PDRC.

“PDRC ini bukan hanya platform untuk memantau dan mengikat pemaju serta agensi berkaitan, tetapi salah satu galakan agar pemaju yang komited membina rumah mampu milik boleh menyiapkan pembangunan mereka dengan segera dan lancar,” katanya. –  MalaysiaGazette