BUKIT MERTAJAM – Dua unit mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hangus terbakar dalam kejadian kebakaran di sebuah bank di Jalan Perusahaan Bukit Tengah, Perai, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.50 pagi sebelum jentera bomba pertama terus bergegas ke lokasi.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati dua mesin ATM yang terdapat di situ terbakar dengan anggaran kemusnahan akibat kebakaran masing-masing sebanyak 40 dan 70 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran itu tidak menyebakkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana ketika kejadian tiada mangsa berada di kawasan ATM tersebut.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. – Bernama