Foto: SPRM Sabah

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menumpaskan sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu dan pegawai kanan kepada Menteri Dalam Negeri, baru-baru ini.

Menurut sumber, modus operadi sindiket terbabit dipercayai menggunakan penyamaran itu untuk menipu mangsa kononnya mereka boleh menyelesaikan kes disiasat agensi penguat kuasa, dan sindiket itu mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

“Hasil serbuan berdasarkan risikan yang dijalankan SPRM dan Polis Diraja Malaysia di beberapa lokasi di sini sejak beberapa hari lepas mendapati sebanyak tujuh individu warganegara Malaysia yang berumur antara 20 hingga 30 tahun ditahan.

“Proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM selain mengingatkan orang ramai supaya tidak meminjamkan akaun bank kepada orang lain.

“Orang ramai (diminta) jangan mudah percaya sekiranya ada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan awam,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast