Siti Kassim Bon Odori JAKIM
Siti Kassim

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil seramai sembilan  saksi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden penemuan objek bom buatan sendiri di bawah tayar kereta Siti Kassim.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian itu juga telah berjaya diperoleh polis untuk membantu siasatan kes melibatkan peguam kontroversi atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim itu.

“Rakaman CCTV telah diperoleh dan polis sedang membuat penelitian ke atas setiap CCTV melibatkan tempat-tempat yang dimaklumkan oleh mangsa, kes masih dalam siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kes berkenaan sedang disiasat rapi di bawah Seksyen 7 Akta letupan 1957.

Terdahulu pada Jumaat lalu, Siti Kassim terkejut selepas dimaklumkan oleh mekanik bengkel terdapat botol plastik menyerupai bom diikat pada tayar belakang kereta jenis utiliti sukan miliknya.

Siti Kassim telah menghantar ke bengkel kereta yang terletak di Bangsar itu untuk kerja penyelenggaraan sebelum hendak meneruskan perjalanan ke Kelantan untuk urusan kes membabitkan Orang Asli.

Peguam itu terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan penemuan objek tersebut sebelum pasukan polis dari Daerah Brickfields serta Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia telah turun ke lokasi dan melakukan siasatan.

Turut turun meninjau insiden adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang kemudian mengesahkan kepada pemberita bahawa objek yang ditemui adalah bom letupan termampat buatan sendiri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bom pada kereta Siti Kasim disyaki cubaan bunuh – KPN