Hospital Melaka memerlukan kira-kira 20,000 lagi beg darah untuk mencapai sasaran tahunan 35,000 beg bagi keperluan perawatan pesakit di negeri ini.

MELAKA – Hospital Melaka (HM) memerlukan kira-kira 20,000 beg darah lagi untuk mencapai sasaran tahunan 35,000 beg bagi keperluan perawatan pesakit di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata setakat Jun lalu, HM berjaya mengumpul 15,460 beg darah yang mana satu beg hanya boleh digunakan untuk seorang pesakit.

Menurutnya, kadar pendermaan darah di negeri Melaka ketika ini masih rendah antara 20 hingga 25 orang bagi setiap 1,000 penduduk, di bawah paras sasaran 35 hingga 40 orang per 1,000 populasi peringkat kebangsaan tahun ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, bekalan darah di Melaka masih mencukupi untuk kegunaan pesakit namun kempen kepentingan menderma darah perlu terus diperhebatkan.

“Sejak 2018 sehingga tahun lalu, HM berjaya menerima antara 27,907 hingga 30,730 beg darah daripada penderma,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia di sebuah pusat beli belah di sini.

Mengulas lanjut Dr Rusdi berkata, angka diterima itu hampir menyamai jumlah darah diperlukan pesakit di semua pusat kesihatan di negeri ini antara 25,255 beg hingga 30,184 beg dalam tempoh sama lima tahun lalu.

“Sebagai contoh pada tahun lalu, kita berjaya menerima 30,730 beg darah yang mana 19,098 adalah untuk penggunaan pesakit HM manakala 8,708 beg lagi dibekalkan kepada hospital lain termasuk hospital swasta di negeri ini.

“Pada 2021 pula, kita kutip 28,108 beg darah dan seramai 15,902 pesakit kita menggunakannya selain 9,353 beg dihantar kepada lain-lain hospital,”katanya.

Justeru, Dr Rusdi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) berharap lebih ramai masyarakat yang tidak mempunyai masalah kesihatan dapat tampil membantu pesakit yang memerlukan.

“Aktiviti pendermaan darah seharusnya menjadi tanggungjawab sosial rakyat yang layak kerana darah adalah produk terapeutik yang penting dalam sistem kesihatan.

“Sehingga kini, masih belum ada belum ada bahan sintetik boleh menggantikan darah sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette