Nursuhaila Tasman menerima Anugerah Kecemerlangan PTPTN pada Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, kelmarin.

KUANTAN – “Saya anak orang susah sehinggakan nak beli susu formula pun tak lepas, mak cuma bagi rendaman air beras menggantikan susu, malah kami pernah makan ubi rebus dan nasi air garam.

“Balik sekolah terus ikut ayah berniaga di pasar malam dengan baju sekolah pun tidak tukar lagi. Mungkin tidak semua faham apa erti susah namun semua itu menjadi kekuatan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membanggakan mak ayah yang terlalu lama bergelumang dengan kesempitan hidup”.

Demikian luahan Nursuhaila Tasman, pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Kecemerlangan PTPTN pada Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Jelasnya, ayah bekerja sebagai peniaga buah dan kerja itu bukan mudah kerana terpaksa mengharungi hujan panas.

“Sesekali diserang sakit kencing manis dan ayah tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja bera selepas paru-parunya ditebuk. Jadi ibu dan adik beradik yang membantu dari pagi hingga malam.

“Setiap cuti semester saya akan bekerja mencari duit poket membiayai kehidupan di kampus jadi sepanjang empat tahun saya bayar semua pengajian dan tidak susahkan mak ayah dengan duit tabungan yang saya kumpul,” katanya.

Onak, ranjau dan kesusahan yang dilalui Nursuhaila menyebabkan dia bertekadnya untuk membayar semua penderitaan ini dengan memburu ilmu serta belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih selesa buat yang tersayang.

“Alhamdulillah sekarang keluarga saya semakin selesa memandangkan adik beradik sudah bekerja. Saya juga suka kerja sebab saya ada ‘mindset’ jika mahukan sesuatu kena kerja jangan meminta-minta,” ujar graduan Sarjana Muda Kaunseling.

Kini Nursuhaila bekerja di Salam Alliance Sdn Bhd anak syarikat Amal Valley Organization (AVO) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan usaha untuk membantu asnaf dan komuniti yang kurang berkemampuan terutama di dalam pengurusan jenazah (termasuk pengurusan jenazah Covid-19) serta bantuan perubatan (panel perubatan, perkhidmatan ambulan komuniti & van mobiliti) secara percuma.

“NGO ini menguruskan jenazah secara percuma ke seluruh Malaysia, saya menjadi sukarelawan dengan membantu mandi dan kafan jenazah dan hantar jenazah ke tanah perkuburan.

Katanya, kematian adalah hakikat yang pasti berlaku dan pengurusan jenazah ini sebenarnya mudah untuk dilakukan tetapi akan menjadi sukar apabila tidak dipelajari.

“Mungkin ramai yang takut untuk urus jenazah dengan pelbagai persepsi, tapi bila kita sudah buat, perasaan takut itu akan hilang dan rasa puas dapat memudahkan urusan waris,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast