KUALA LUMPUR – Empat beregu Malaysia bermula cemerlang di pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023 di Tokyo, hari ini.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Yoyogi First Gymnasium, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah berjaya mengharungi rubber set untuk menundukkan gandingan China Liu Sheng Su-Tan Ning, 21-11, 9-21, 21-19, sekali gus melangkah ke pusingan kedua.
Pertarungan kedua itu dijangka sukar buat Pearly dan Thinaah jika pilihan utama kejohanan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China menewaskan pasangan Kanada, Catherine Choi-Josephine Wu dalam perlawanan pusingan pertama hari ini.
Sementara itu, dua beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut berjaya mara ke pusingan kedua.
Beregu nombor 14 dunia Tang Jie-Ee Wei mengejutkan beregu di ranking kesembilan dunia dari Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-15, 21-18, manakala beregu bukan pilihan Peng Soon-Yee See mencipta kejutan ke atas pilihan kelapan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis, 21-8, 21-18.
Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pilihan utama Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong selepas beregu China itu menumpaskan beregu Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 21-8, 21-13.
Peng Soon-Yee See pula bakal berdepan gandingan Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran yang mengatasi gandingan Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang, 21-3, 21-10.
Beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menutup aksi cemerlang skuad negara hari ini dengan kemenangan straight set menentang Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis, 21-15, 21-18, dalam 36 minit.
Beregu pilihan keenam itu akan menentukan kedudukan suku akhir dengan berdepan pemenang perlawanan pembukaan antara Chen Bo Yang-Liu Yi dari China atau juara bertahan Olimpik Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan. – Bernama