Gambar hiasan

KEPALA BATAS – Seorang penjawat awam mengalami kerugian berjumlah RM677,565 selepas diperdaya sindiket Phone Scam.

Lelaki berusia 40-an itu terjerat dengan penipuan itu selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang  mendakwa kakitangan Pos Laju baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek memaklumkan kononnya terdapat satu bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa yang mengandungi barang terlarang iaitu lima keping kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank.

Jelasnya, mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Menerusi perbualan dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis itu memaklumkan mangsa turut terlibat dengan kes dadah serta kes pengubahan wang haram.

“Dia (mangsa) juga diminta memberi maklumat perbankan bagi mengelak dirinya ditangkap selain diminta memindahkan wang dalam akaun banknya.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, mangsa bertindak mengikut arahan suspek dengan melakukan beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM677,565 ke enam akaun yang diberikan suspek bermula 7 Jun hingga 4 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah Mohd Asri, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi SemakMule semalam sebelum mendapati kesemua enam akaun bank yang diberikan itu mempunyai rekod bersabit kes penipuan.

“Susulan itu, mangsa hadir membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu atau agensi kerajaan mahupun swasta berhubung apa saja kesalahan yang disabitkan sebaliknya harus membuat pengesahan dengan agensi berkenaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette