Musa Hassan bercakap menai tindakan biadab Kumpulan The 1975 pada sidang media di Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 26 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR- Tan Sri Musa Hassan menegur semua pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert Good Vibes Festival 2023 kerana lambat melaporkan aksi melampau kumpulan The 1975 kepada pihak berkuasa.

Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata, orang ramai tidak perlu mengambil masa lama untuk membuat laporan di balai polis kerana mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat agar tindakan segera dapat diambil.

“Kumpulan itu boleh diberkas dengan cepat sekiranya ada laporan dibuat sama ada daripada penonton mahupun penganjur sendiri pada waktu konsert itu sedang berlangsung,” katanya pada sidang media di sini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata,  Kumpulan pop rock, The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Festival Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Jumaat lalu didapati pulang ke negara mereka selepas enam jam membuat persembahan di negara ini.

Menurutnya, laporan polis pertama yang diterima kami adalah pada keesokan hari iaitu pukul 2 petang menyebabkan polis tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik lebih awal

Musa berkata, untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan terbabit selepas mereka pulang adalah agak sukar kerana jika mahu diekstradisi.

Interpol pula hanya akan bertindak jika undang-undang di negara mereka sama seperti di negara ini yang melarang perbuatan tidak senonoh dilakukan di khalayak.

“Bagaimanapun, jika ia bukanlah menjadi satu kesalahan di tempat mereka langkah untuk mengenakan tindakan tak mungkin dapat diambil,” katanya.

Kumpulan The 1975 balik awal, tak sempat ditahan polis – Ayob Khan

 

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO menyarankan supaya mewujudkan satu pasukan petugas khas dalam kalangan agensi penguatkuasa seperti polis bagi memantau persembahan artis luar yang mengadakan persembahaan di negara ini.

Datuk Hishamuddin Hashim berkata, langkah itu perlu supaya tindakan pantas dapat diambil sekiranya artis-artis luar ini melakukan kesalahan undang-undang yang bertentangan dengan prinsip perundangan di Malaysia.

Pendekatan itu juga boleh mengelak budaya luar yang mungkin diamalkan oleh artis-artis terbabit dibawa masuk menerusi persembahan pentas yang akhirnya boleh merosakkan pemikiran masyarakat terutama golongan muda di negara ini.

“Kita telah digemparkan dengan satu insiden yang dilakukan oleh kumpulan The 1975 apabila telah mencemarkan nama baik negara dengan perbuatan tidak senonoh dan biadab dikhalayak.

“Vokalis utama kumpulan itu telah memperlekeh undang-undang di negara ini apabila bercium mulut dengan rakannya di atas pentas serta minum arak dan perbuatan mereka itu tidak boleh dimaafkan.

“Saya nak tegaskan bahawa tidak memadai kumpulan itu hanya disenarai hitamkan, sebaliknya mereka tidak layak untuk dipopular di negara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin lagi, pihaknya sangat bersetuju dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan siasatan terhadap kumpulan itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.

Dalam pada itu, Hishamuddin mencadangkan agar kumpulan terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang mana vokalisnya telah melanggar kesopanan umum dengan melakukan perbuatan kelucahan yang melampau.

Tegasnya, pesalah yang disabitkan kesalahannya menerusi seksyen berkenaan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai sehingga dua tahun.

“Kami ingin memberi amaran kepada mana-mana penganjur yang ingin mengajak artis dari luar negara untuk mengadakan konsert di Malaysia agar lebih selektif dalam membuat pemilihan.

“Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kita nak pastikan kejadian yang telah berlaku tidak berulang di masa hadapan kerana Malaysia merupakan sebuah negara harmoni,” ujannya. – MalaysiaGazette