Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Pitchay bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada atlet sempena Kejohanan World Police and Fire Games (WINNIPEG) 2023 di Dewan Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pop rock, The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Festival Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Jumaat lalu didapati pulang ke negara mereka selepas enam jam membuat persembahan di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, tempoh yang singkat itu punca pihaknya gagal mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan dari beberapa pihak yang mendakwa polis lambat mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan dalam kes tersebut.

“Sebenarnya insiden ini berlaku pada 21 Julai pukul 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan, konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pukul 5.30 pagi.

“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang ke UK dan laporan polis pertama yang diterima kami adalah pada keesokan hari iaitu pukul 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan menambah, polis akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan ke atas kumpulan rock itu di negara ini.

“Kalau kita lihat, kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar menyebabkan bunuh atau penculikan, kita akan berurusan dengan pihak UK,” katanya lagi.

Ditanya nasihat sebagai langkah pencegahan awal insiden seumpama berulang, beliau menasihatkan agar Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Pesembahan Artis Luar Negara (Puspal) lebih sensitif dan berhati-hati di kemudian hari.

“Dalam perkara berkaitan, polis sudah mengambil 13 keterangan saksi bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan vokalis terkemuka itu.

“Enam keterangan diambil dari pengadu, seorang penganjur dan enam daripada orang Puspal dan setakat ini pihak polis sudah menerima sebanyak 18 laporan yang mana lapan daripadanya daripada Kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya lagi.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy yang memperlekehkan undang-undang negara.

Kumpulan itu juga difahamkan telah mengkritik dan mempersenda undang-undang LGBT yang ditetapkan di Malaysia selain bertindak mencium salah seorang ahli kumpulan lelaki di atas pentas. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tak usahlah lagi benarkan kumpulan dari Barat buat persembahan disini walaupun pengikut2 lbgtq mereka disini sangat marah. Lagi pun bukannya sedap sangat lagu2 mereka!!!

  2. Penganjur sengaja lambat buat laporsn polis kononnya mengantuk bangun lewat tengah hari. Ada-ada saja.

Comments are closed.