Anggota bomba membantu mengalihkan sebuah kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) berhampiran Kampung Gangsa pagi tadi. - Gambar Ihsan JBPM Melaka

MELAKA – Empat kawasan terjejas apabila dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan kira-kira hampir dua jam bermula 5 pagi tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata, keadaan itu mengakibatkan berlakunya limpahan air sungai serta parit ke kediaman penduduk.

Kawasan yang terjejas membabitkan tiga kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu iaitu Kampung Pengkalan Batu, Kampung Bachang Darat dan Kampung Peringgit melibatkan keseluruhan 62 buah rumah.

“Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara dibuka. Manakala bagi kawasan DUN Durian Tunggal hanya satu kawasan terjejas iaitu di Kampung Bukit Balai.

“Kita akan terus memantau dan mendapatkan maklumat daripada penghulu, orang awam selain daripada rondaan anggota APM di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette setakat pukul 12 tengah hari tadi mendapati, keadaan banjir di beberapa laluan utama antaranya Batu Berendam dan Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) berhampiran Kampung Gangsa sudah mulai surut.

Kawasan berkenaan adalah yang antara paling teruk terjejas apabila turut melibatkan sebuah kenderaan ditenggelami banjir, namun pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette