Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu mengelak sebarang tindakan yang boleh menggangu keharmonian beragama dan bermasyarakat di dalam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar berkata, perpaduan sesama muslim perlu diterjemah dengan sifat-sifat yang menjauhi  persengketaan sebaliknya memberikan contoh positif kepada masyarakat.

“Tema Maal Hijrah tahun ini iaitu Perpaduan Teras Malaysia Madani perlu diterjemahkan melalui sifat pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan melalui peristiwa hijrah bagi membangunkan masyarakat yang dapat menghayati nilai kemampanan, daya cipta, hormat, keyakinan.

“Umat Islam perlu menjaga adab dan menjauhi segala tindakan yang boleh mengganggu gugat keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat serta menjauhi persengketaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im turut menyentuh mengenai peranan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan yang perlu disemarakkan sebagai pusat menyatukan ummah.

Jelasnya, usaha tersebut boleh dilaksanakan dengan penganjuran pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan dalam kalangan agensi Islam.

“Agensi-agensi Islam perlulah melipatgandakan kerjasama bersama pengurusan masjid dan surau termasuk Jawatankuasa Penduduk untuk bersikap proaktif dalam memastikan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan benar-benar berfungsi sebagai pusat komuniti yang memperkukuh silaturrahim masyarakat.

“Dengan pendekatan yang kreatif dan menarik, ia pasti akan member nafas baharu kepada program-program anjuran masjid dan surau di Wilayah Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menambah, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga perlu diangkat sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam untuk membentuk individu dan masyarakat menghayati agama.

“Apabila masyarakat terdidik dengan ilmu wahyu, ia berupaya meniadi perisai untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa yang kita hadapi pada hari ini.

“Amatlah penting masyarakat kita dibekalkan dengan ilmu agama dan is semasa agar dapat menepis dan mengelakkan ancaman-ancaman yang boleh merosakkan akhlak dan akidah mereka,”ujarnya lagi. – MalaysiaGazette