JEMPOL – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) diarah meneliti mekanisme yang dapat membantu membantu penoreh getah di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu mesyuarat khas telah diadakan semalam antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga menteri berkaitan, Kementerian Kewangan (MoF) dan Felda.
“Semalam saya bermesyuarat, dapat pandangan daripada Felda, Kementerian Pertanian dan Komoditi dan Timbalan Perdana Menteri, kita minta MoF teliti semula.
“Teliti bagaimana boleh kita bantu sementara penoreh getah yang hadapi masalah dan percayalah, saya tak berdiam diri, saya akan cari jalan untuk tambah lagi bantuan kepada pekebun kecil getah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Segalanya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Dataran Seri Jempol, Feldajaya Selatan, Felda Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, di sini petang ini.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Shaberry Cheek.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannnya mengimbau usaha dilakukan kerajaan untuk membantu pekebun getah yang terkesan dengan harga komoditi itu yang `turun naik’ di pasaran sejak beberapa tahun lalu.
Ia termasuklah menyaksikan harga semasa getah beku jatuh ke paras RM2.50 sekilogram dan disifatkan kurang memuaskan. – MalaysiaGazette