SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menangguhkan pengumumkan dua nama calonnya malam ini ekoran terdapat masalah teknikal yang perlu diatasi.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hanya mengumumkan 34 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada 12 Ogos ini.
“Malam ini kita umumkan 34 nama calon dan ada dua lagi nama tak diumumkan iaitu kerusi Sri Tanjung dan Jeram Padang walaupun kita telah putuskan calonnya.
“Namun masih ada perkara tenikal yang perlu kita perhalusi agar ianya tak mendatangkan masalah pada hari penamaan calon nanti maka esok saya akan umumkan dua nama itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PN di Dewan Perdana KRS, Bandar Warisan Puteri di sini malam ini.
Ditanya adakah PN ketandusan calon berwibawa, Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, proses pemilihan yang terlalu ketat menyebabkan dua kerusi itu mengalami kelewatan.
“Bukan masalah tiada calon, mungkin kerana kita mempunyai full of great talent yang perlu kita pilih dengan teliti disamping saringan yang perlu kita buat.
“Kami yakin, senarai calon ini adalah yang terbaik bagi mewakili semua kaum,” katanya.
Pada pengumumkan malam ini, seramai 34 calon diumumkan terdiri daripada 15 daripada Bersatu, Pas (13) manakala enam lagi daripada Gerakan.