PETALING JAYA – Kontinjen Polis Selangor berada pada tahap terbaik dari aspek persiapan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh PRN berlangsung sehingga pada hari mengundi 12 Ogos ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, segala penugasan dan atur gerak petugas melibatkan seramai 13,043 orang pegawai dan anggota.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 orang anggota dan petugas PDRM digerakkan dari luar Selangor serta dibantu oleh beberapa agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Kekuatan pasukan PDRM di Selangor untuk PRN kali ini adalah lebih daripada mencukupi,” katanya selepas menyaksikan latihan amal ketenteraman awam Kontinjen PDRM bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di pekarangan parkir Dewan Sivik MBPJ hari ini.
Turut hadir menyaksikan latihan persiapan PRN itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikaladevi Subramaniam.
Beberapa unit di bawah PDRM seperti Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tempur Ringan (LFS) serta Unit Tindakan Rusuhan Awam (Poru) termasuk unit Dron akan dipersiapkan sepanjang tempoh PRN.
Hussein menambah, polis juga telah berjaya mengenal pasti sebanyak 27 buah lokasi panas termasuk di Kuala Selangor, Shah Alam, Kuala Langat, Ampang, Klang, Serdang serta Sungai Buloh.
“Selain itu, terdapat sebanyak 56 lokasi yang berpotensi berlaku kekecohan ekoran pertembungan sengit calon parti bertanding,” kata Hussein lagi.
Menurutnya, menjelang proses penamaan calon pada Sabtu ini, sebanyak 37 jalan melibatkan 12 daerah di Selangor akan menjalani proses penutupan pada hari tersebut sehingga proses itu selesai menjelang tengah hari nanti.
Penutupan jalan bersempena hari penamaan calon pada Sabtu akan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.
Dalam pada itu, katanya, setakat ini polis telah menerima sebanyak 15 laporan polis berhubung perbuatan khianat terhadap dan bunting dan bendera parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Selangor.
Dua laporan perbuatan khianat antaranya telah diterima dari daerah Subang Jaya manakala satu laporan masing-masing di daerah Gombak dan Klang Utara sementara lima lagi direkodkan di daerah Kuala Selangor.
Sehubungan itu, polis telah membuka sebanyak enam kertas siasatan bagi meneruskan siasatan terhadap aduan perbuatan khianat bendera dan bunting tersebut.
Manakala lima kertas siasatan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat poster atau sepanduk parti yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan,’ katanya dalam sidang media yang diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini petang tadi.
Tambah beliau, satu lagi laporan sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda. – MalaysiaGazette