RIYADH – Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) pada Khamis mengumumkan penubuhan Syarikat Pelaburan Pelancongan Saudi, atau Asfar, bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

Asfar akan melabur dalam projek pelancongan baharu dan membangunkan destinasi menarik di seluruh Arab Saudi, selain melabur dalam rantaian pelancongan tempatan, Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar Saudi.

Inisiatif penubuhan itu adalah sebahagian daripada usaha negara untuk mencapai sasaran menarik 100 juta pengunjung setiap tahun menjelang 2030.

Mishary Alibraheem, ketua sektor hiburan, riadah dan sukan bagi Pelaburan MENA di PIF, berkata, Asfar akan mengaktifkan peranan bandar-bandar Saudi dalam menyokong ekonomi negara.

PIF ialah dana kekayaan Arab Saudi. Ia adalah antara dana kekayaan negara terbesar di dunia dengan jumlah aset dianggar bernilai US$700 bilion. – Bernama-Xinhua