BAYAN LEPAS – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yakin mampu meraih sokongan pengundi pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas termasuk ahli Pas.

Beliau yang juga Presiden Gerakan berkata, kontroversi yang tercetus berhubung pencalonannya yang didakwa mendapat tentangan daripada ahli Pas kawasan berkenaan adalah isu berkaitan komunikasi dan ia akan diselesaikan secara dalaman parti.

“Isu yang berlaku (Gerakan dan Pas Bayan Lepas) disebakan masalah komunikasi dan saya yakin isu ini akan selesai.

“Malah, saya yakin bukan sahaja parti gabungan tetapi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak gereja dan tokong akan turut bantu saya.

“Ini kerana, pengundi bukannya semua datang daripada parti politik, sebaliknya ia terdiri daripada rakyat Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengumuman calon N38 DUN di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, ketika diminta mengulas cabaran mendapatkan sokongan orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti kerusi ditandanginya, Dominic berkata, selaku calon PN beliau melihat semua pengundi adalah rakyat Malaysia.

“Sebagai calon PN, kami mahu dapatkan sokongan semua lapisan masyarakat tak kisah kaum, agama serta status miskin mahupun kaya.

“Sebab kita akan berusaha untuk dapatkan mandat dan sokongan daripada seluruh penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Terdahulu, DUN Bayan Lepas menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azrul Mahathir dengan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai yang mewakili PN.

Dominic Lau merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalon kepada pegawai SPR kira-kira jam 9.03 pagi dan diikuti Azrul Mahathir lima minit kemudian.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon DUN Bayan Lepas, Mohd Hafiz Aswad Nazri. – MalaysiaGazette