Mohd Salim Mohd Ali

GOMBAK – Calon bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Mohd Salim Mohd Ali menawarkan diri bertanding pada pilihan raya ini atas desakan penduduk.

Beliau yang bertanding menggunakan lambang jam itu berkata, penglibatannya dalam parti politik dan NGO banyak mendedahkan kepincangan pemimpin dan wakil rakyat di DUN berkenaan.

“Saya bertanding kerana calon yang ada sekarang gagal menjadi wakil rakyat. Mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak banyak membantu membela masyarakat setempat.

“Apabila melihat keadaan rakyat yang tidak terbela, saya diminta oleh penduduk dalam Gombak Setia, minta saya bertanding. Atas desakan ini, saya berada di pusat penamaan calon hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi kerusi DUN Gombak Setia di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu hari ini.

Selepas selesai proses penamaan calon kira-kira pukul 10.30 pagi, beliau diumumkan Pegawai SPR bersama dua lagi calon iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Hilman Idham dari Perikatan Nasional (PN).

Menurut Mohd Salim, beliau bukan baharu dalam politik kerana pernah memegang jawatan Ketua Cawangan UMNO Sri Harmoni selama 26 tahun sebelum menyertai parti Bersatu dan diberi jawatan Ketua Cawangan Gombak Setia.

Katanya, selepas tidak lagi bergiat dalam parti politik, beliau mula aktif dalam NGO Semboyan Anak Jati Daerah Gombak dan rancak turun padang membantu rakyat yang memerlukan.

“Manifesto saya adalah berkaitan dengan kos sara hidup, pendidikan dan keperluan rumah mampu milik.

“Masalah ini sering membelenggukan kebanyakan penduduk di Gombak Setia apabila wakil rakyat hanya pandai berjanji tetapi tidak ditunaikan.

“Untuk merealisasikan manifesto ini, saya sahut desakan penduduk untuk bertanding,” katanya.

Beliau meminta rakyat Selangor jangan melabelkan calon bebas datang daripada parti kalah sebaliknya melihat calon yang boleh berkhidmat untuk mereka. – MalaysiaGazette