KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC B, Rosle Md Derus beri bayangan cabaran yang lebih tinggi akan dirasai apabila bakal berentap di Liga Juara Piala MFL 2023.
Kedah akan memulakan aksi pertama menentang Selangor FC Bawah 23 Tahun pada 7 Ogos ini menyaksikan pertembungan sukar bakal ditempuh memandangkan lawan mereka cemerlang di kedudukan teratas peringkat Kumpulan B sebelum ini.
Bagi Rosle, barisan pemainnya ketika ini telah melaksanakan tugas dengan cukup baik di peringkat kumpulan meskipun agak bergelut tewas dalam tiga perlawanan lepas sebelum akhirnya berjaya mengesahkan kedudukan di tangga empat teratas sekaligus layak ke Liga Juara.
Dan sudah pasti harapan besar diletakkan kepada penyerang import mereka, Ebenezer Assufiah yang berjaya meraih 11 gol untuk terus mencetak jaringan lebih banyak selepas ini.
“Setakat ini tahap keyakinan pemain semakin baik walaupun kami kalah dalam tiga perlawanan lepas dan sebab itu saya selalu membuat banyak pertukaran pemain.
“Dan kami pun belum pernah lawan Selangor, jadi saya kena buat kerja lebih sikit untuk kaji corak permainan mereka sebab saingan lebih sengit dan sudah tentu tekanan juga makin tinggi.
“Saya percaya tidak mustahil untuk kami terus bangkit dan saya turut berharap Assufiah dapat sekali lagi bantu pasukan dengan jaringan-jaringannya,” katanya.
Sebanyak lapan pasukan iaitu empat pasukan teratas daripada Kumpulan A (Terengganu FC II, JDT II, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC B) dan B (Selangor FC, Kuala Lumpur City Extension, Sri Pahang FC, Perak FC II) layak berentap di pusingan Liga Juara Piala MFL bermula 6 Ogos ini.
Bermain dengan format liga satu pusingan sahaja, dua pasukan teratas Liga Juara ini seterusnya akan layak ke Perlawanan Akhir Piala MFL. – MalaysiaGazette