Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Orang awam termasuk pengamal media diberi amaran untuk tidak menerbangkan dron di kawasan tumpuan di Subang sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), ketika ini.

Amaran itu dikeluarkan susulan seorang penyokong parti politik cedera akibat terkena dron yang terjatuh dari udara dipercayai berlaku di Kedah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, larangan ini termasuk pada tiga tarikh penting yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk semasa undian awal pada 8 Ogos, hari pembuangan undi 12 Ogos serta sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

“Sebarang perlanggaran kepada aktiviti penerbangan termasuk pengendalian dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbuatan itu juga melanggar peraturan di bawah Peraturan 98, Peraturan 140-144 Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Arahan Penerbangan Awam.

Tegasnya, mana-mana individu yang mahu menerbangkan dron perlu mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit 17 saat memaparkan seorang mangsa terbaring di atas jalan selepas ditimpa dron bersaiz besar.

Rakaman itu tular selepas dimuatnaik pengguna Facebook semalam.

Dron berkenaan dipercayai digunakan bagi tujuan pertanian dan tiada tangkapan dilakukan namun, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan sudah dihantar ke hospital bagi menerima rawatan. – MalaysiaGazette