KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengumuman sejumlah peruntukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu tidak ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN).
Menurut Anwar, Ahmad Zahid melakukan pengumuman peruntukan kepada tiga persatuan belia di Terengganu sehari sebelum penamaan calon.
“Penamaan calon semalam, dia tak ada kena mengena dengan PRN. Ada orang cadang tak ada pengumuman langsung, tak boleh,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Anwar ditemui pada Majlis Penutup Hari Pengguna Kebangsaan di Bukit Jalil yang menyaksikan beliau mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta bagi Program Rahmah.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan fungsi seperti biasa dan perlu bertemu dengan masyarakat.
Tambahan, menurutnya, beberapa program telah dirancang sekian lama dan tidak boleh dibatalkan serta-merta.
“Ini tidak harus menghalang kerja-kerja kerajaan, saya kena jumpa pegawai-pegawai kerajaan. Program ini (contohnya) sudah ditetapkan tiga bulan, jadi bila saya umum (peruntukan) kerana permohonan kementerian sudah berapa lama, kita nak umum semasa Hari Pengguna.
“Contoh pengumuman Ekonomi Madani (diputuskan) semasa Pelan Induk Industri dan penilaian Rancangan Malaysia Ke-12. Adakah ini semua kena tunda? Tidak, kerja kena diteruskan,” kata Anwar.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, semasa majlis kerajaan dan pengumuman peruntukan tidak dibenarkan sebarang pemasangan bendera parti dan dihadiri oleh calon pilihan raya.
Kabinet juga kata Anwar telah memutuskan bahawa jentera kerajaan tidak boleh digunakan semasa kempen dijalankan.
Parti pembangkang sebelum ini menyelar tindakan Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Beliau turut mengumumkan RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.
Pembangkang mendakwa tindakan Ahmad Zahid memberikan peruntukan dan menyatakan peruntukan akan ditambah jika parti kerajaan menang PRN di negeri tersebut dianggap sebagai sogokan. – MalaysiaGazette
kaki putar alam