ANTARA perkara penting yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa
Rakyat ialah matlamat untuk berada pada tangga 25 teratas dunia dalam Indeks
Persepsi Rasuah (CPI). Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022
daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021. Skor
Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada
2022.
Walaupun indeks ini dilihat bukan pengukur sebenar situasi rasuah negara namun
kita tidak boleh pandang ringan kerana ianya membabitkan imej dan kedudukan
negara di mata dunia, justeru penetapan sasaran dan matlamat untuk berada pada
tangga 25 teratas dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang adalah dilihat sangat
wajar, perlu dan signifikan.
Ironinya, penetapan matlamat ini membuktikan komitmen dan iltizam pihak kerajaan
khususnya Perdana Menteri sendiri yang dilihat sangat serius dan agresif mahu
membanteras rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan yang semakin
membimbangkan di negara kita.
Tangkapan demi tangkapan serta pendakwaan yang dibuat oleh pihak berkuasa
membuktikan rasuah semakin mengakar dalam kehidupan seharian sebahagian
anggota masyarakat kita. Terbaharu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan pembabitan pegawai
awam gred 54 ke atas dalam gejala rasuah menjadi trend yang amat membimbangkan, berbanding 10 tahun lalu. Menurut Azam, trend ini memperlihatkan satu penanda aras tidak sihat dan pembabitan pegawai kerajaan gred 54 ke atas menunjukkan peningkatan sejak 2018 seolah-olah menjadi perkara biasa.
Jadi adalah bertepatan pihak kerajaan meletakkan satu sasaran yang jelas seperti ini
supaya boleh memberi perhatian yang serius kepada usaha pembanterasan dan
pencegahan rasuah secara bersepadu membabitkan semua pihak yang terlibat, baik
sektor awam, swasta mahupun anggota masyarakat mencakupi pihak yang memberi
dan menerima rasuah.
Jujurnya bukan mudah untuk membanteras rasuah kerana sudah menjadi satu
kebiasaan dan amalan lazim dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat kita.
Justeru usaha membanteras dan pencegahan perlu membabitkan semua pihak
bermula dari ahli politik, agensi kerajaan, agensi swasta, agensi penguatkuasa serta
individu anggota masyarakat.
Komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri yang mahu membanteras rasuah ini
perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pihak untuk bersama-sama mendukung
aspirasi yang sama, iaitu membanteras rasuah melalui usaha dan inisiatif yang
sewajarnya. Jangan biarkan Anwar keseorangan dalam melaksanakan agenda
penting ini.
Misalnya, semua agensi kerajaan dan swasta perlu melipatgandakan usaha untuk
menyedarkan anggota organisasi masing-masing agar menjauhi perbuatan tidak
bermoral tersebut. Program kesedaran seperti kempen dan ceramah wajar diadakan
secara kerap dan berkala selain terus memperbaharui ikrar dan janji untuk lebih
bertanggungjawab dan amanah melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Para majikan juga perlu sentiasa menilai dan mengemaskini proses dan prosedur
kerja di organisasi masing-masing agar dapat segera kenalpasti dan menutup segala
ruang dan peluang yang ada untuk anggota organisasi terlibat dalam aktiviti
penyalahgunaan jawatan atau kuasa sehingga terbabit dalam najis rasuah. Amalan
tadbir urus dan tata kelola yang baik mesti menjadi tanggungjawab utama setiap
majikan.
Selain itu, semua pihak juga perlu menyokong dan terus membantu pihak berkuasa
seperti SPRM melaksanakan tugas mereka secara berkesan dengan tidak
menyembunyikan sebarang perbuatan salah laku yang diketahui. Sebagai
warganegara yang bertanggungjawab kita perlu menyalurkan maklumat tentang
rasuah yang berlaku di sekitar kita kepada SPRM untuk diambil tindakan dengan
segera. Perbuatan kita yang suka berdiam diri dan tidak ambil peduli dengan apa
yang berlaku di sekitar adalah suatu sikap yang tidak wajar, tidak bertanggungjawab
dan boleh dicaj sebagai bersubahat.
Di samping itu, sebagai anggota masyarakat elaklah terlibat dalam perbuatan
menyogok atau memberi rasuah. Tindakan kita yang suka menyogok untuk
mendapatkan sesuatu perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul
merosakkan keseluruah ekosistem penyampaian perkhidmatan di negara kita. Jadi
setiap seorang daripada kita perlu menjaga integriti diri masing-masing supaya
dapat menyumbang ke arah pembanterasan amalan rasuah di negara kita.
Tuntasnya, tahniah kepada Anwar dan kerajaan kerana telah menzahirkan komitmen
untuk membanteras rasuah melalui penetapan sasaran pencapaian untuk berada
pada tangga 25 teratas dunia dalam CPI. Kini terserah kepada kita sebagai
warganegara bagaimana boleh memainkan peranan agar dapat berganding bahu
dengan kerajaan untuk membanteras rasuah di negara tercinta ini.
Penulis adalah Penganalisis Isu Rasuah
Universiti Putra Malaysia