GEORGE TOWN – Hanya kerana perselisihan faham membabitkan keluarga, seorang lelaki bertindak membakar isterinya dalam kejadian di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, semalam.
Kejadian jam 9.30 malam mengakibatkan mangsa berusia 35 tahun itu melecur 27 peratus pada anggota badan susulan dibakar menggunakan petrol.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada jam 10.45 malam berhubung kejadian sebelum anggota bergegas ke lokasi.
Katanya, hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri itu merupakan pekerja ladang tersebut dan ketika kejadian keempat-empat anak mereka berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun berada di rumah.
“Hasil siasatan awal anak lelaki mangsa berusia 13 tahun mendakwa dia dan adik-adiknya berada dalam bilik sebelum terdengar pergaduhan antara ibu dan bapanya yang berusia 36 tahun.
“Remaja itu cuba keluar untuk melihat kejadian sebelum menyedari pintu bilik dikunci dari luar. Dia cuba menarik pintu dan berjaya membukanya.
“Susulan itu, dia nampak ibunya (mangsa) berada di bahagian belakang luar rumah dalam keadaan badannya terbakar manakala suspek cuba padamkan api itu dengan kain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Tambah Mohd Asri, suspek bertindak melarikan diri apabila menyedari api pada badan mangsa merebak serta semakin besar.
Katanya, susulan itu, mangsa sempat meminta bantuan anak lelaki mengambil air untuk memadamkan api tersebut.
“Remaja lelaki itu mengambil air dari bilik air berdekatan dan memadamkan air pada badan mangsa sebelum meminta bantuan daripada jiran untuk menghubungi pihak polis.
“Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan semakan pegawai perubatan mendapati dia melecur 27 peratus pada anggota badan.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk pernah mencederakan mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette