KUALA KEDAH – Tindakan dua bekas pemimpin Pas menjadi calon Bebas di Langkawi belum memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Pengarah PRN PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana tempoh berkempen masih lagi awal sambil menyifatkan tindakan bekas pemimpin itu turut sama berlaku kepada parti lain yang bertanding.
Menurut Menteri Besar Kedah, kedua mereka sudah dipecat dan bukan lagi menjadi ahli Pas namun menghormatinya sebagai meraikan negara demokrasi.
“Belum terlalu awal baru dua hari tengok sehari dua lagi apa yang boleh dilakukan. Tapi kalau orang sudah kena pecat bukan ahli Pas hendak boleh buat apa lagi kerana negara ini demokrasi
“Kita hendak larang, kita larang sebelum tapi masa itu kita tidak tahu hendak jadi macam itu.
“Tapi bukan ahli Pas sahaja, ahli lain pun ada, ahli UMNO pun ada penyandang tak penyandang, semua parti jadi macam itu,” katanya selepas berkempan di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas tindakan Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding di DUN Ayer Hangat sebagai calon bebas sama ada memberi kesan kepada PN.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Sanusi gagal dalam melakukan rundingan agihan kerusi gabungan itu sehingga menyebabkan ahli Pas bertanding sebagai calon Bebas.
Padahal kata beliau, PN sebelum ini mendakwa gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mengalami masalah dalam agihan kerusi, namun rundingan itu berjaya diselesaikan mereka dalam suasana persahabatan.
Mengulas lanjut, Mahfuz percaya tindakan dua pimpinan Pas di Langkawi bertanding sebagai calon bebas turut mendapat lampu hijau kepimpinan Pas Pusat bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada Bersatu. – MalaysiaGazette