Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan Akademik UPM, Prof Madya Ts Dr Muhd Khaizer Omar bercakap ketika temubual bersama Malaysia Gazette di UPM, Serdang. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2023.

SERDANG – Stigma terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang akan melahirkan graduan pilihan kedua sukar dihapuskan.

Ia menjadi buah mulut apabila mereka dihimpit dengan kekurangan kemahiran yang akhirnya membawa kepada pengangguran kerana gagal memenuhi pasaran pekerjaan.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan Akademik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Muhd Khaizer Omar, ia berlaku kerana terdapat jurang komunikasi antara pihak industri dan institusi TVET.

“Punca utama masalah ini terus berlaku kerana ada kelompangan dalam pembangunan kurikulum TVET dan ia disebabkan kurang sokongan serta penglibatan syarikat besar.

“Penyediaan prasarana, pelaburan teknologi berasas pendidikan serta kemodenan mesin hari ini menyukarkan pelajar mempraktik teori yang dipelajari, ia memerlukan kerjasama pihak industri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Katanya, setiap kali belanjawan negara dibentangkan, topik utama yang menjadi perhatiannya adalah mengenai langkah pemerkasaan terhadap TVET.

Sehubungan itu, beliau memuji cadangan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu, untuk membabitkan syarikat besar mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi TVET bagi memenuhi keperluan industri.

Khaizer yang banyak menghasilkan kajian mengenai TVET menambah, inisiatif itu adalah idea segar dalam menangani masalah berbangkit dan ia selari dengan amalan kurikulum di negara maju.

“Saya melihat ini cadangan baik daripada kerajaan. Di negara Eropah, pihak industri sedar lepasan TVET akan bekerja dengan mereka. Lebih menarik, wakil syarikat besar akan turun ke institusi TVET untuk beri case study supaya pelajar didedahkan dengan situasi realiti alam pekerjaan dan ia dinamakan model pembelajaran berasas cabaran.

“Di situ wujud perbincangan dua hala antara mereka sekali gus meningkatkan kompetensi graduan. Maka, tiada isu pengangguran dan kos untuk menjalani kursus tambahan di alam pekerjaan, pun turut berkurang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau melihat tindakan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam isu berkenaan merupakan solusi bernas kerana ia turut menjimatkan perbelanjaan negara.

“Menguruskan TVET ini tidak semestinya perlu dana yang besar dan ia tidak wajar dilihat satu bebanan. Inisiatif kerajaan hari ini membolehkan pelajar mengaplikasi segala teknologi terkini yang ada di syarikat besar tersebut,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mencadangkan pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya berbuat demikian agar peruntukan RM6.7 bilion yang diberi kepada melalui tujuh kementerian dalam usaha untuk memperkasakan TVET, dimanfaat sepenuhnya.

Katanya, institut latihan di Pengerang, Johor boleh diambil alih oleh Petronas untuk menerajui kluster minyak dan gas.

Dalam bidang automotif, ia boleh diusahakan DRB-Hicom di Pekan, Pahang manakala kumpulan Sunway dan Berjaya untuk latihan perhotelan, pelancongan serta perkhidmatan umum.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast