Rina Harun calon DUN Batu Tiga Shah Alam PRN Selangor kontroversi
Calon N.41 Perikatan Nasional Selangor, Rina Mohd Harun semasa Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Selangor untuk Pilihan Raya Negeri ke 15 di Taman Medan Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 26 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Sosok Datuk Seri Rina Harun sering menjadi kontroversi sejak menjadi menteri pada 2018.

Apa sahaja tindakan beliau menjadi perhatian ramai – daripada dijadikan bahan body shaming hinggalah gambarnya memancut air ketika membersihkan longkang ketika waktu banjir.

Imej dan persepsi negatif dibawa pihak lawan bagi menggambarkan ‘keburukan’ Rina.

Bagi lawannya, Rina menjadi ‘bola tanggung’ semasa menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 30 Ogos 2021 hingga 2022.

Sebelum itu beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dari Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Persoalannya, sekiranya Rina satu liabiliti, kenapa parti Bersatu masih memilih bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini?

Rina mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dalam PRN 12 Ogos ini.

Rina berhadapan dengan Danial Al- Rashid dari Pakatan Harapan (PH) dan Cheda Razak dari MUDA.

Namun salah satu kelebihan Rina adalah tidak cepat melatah dan buat kerja tanpa perlu bising-bising.

Dalam kelembutan, Rina sebenar cekal dan tidak pernah mengganggap kritikan kepadanya satu perkara peribadi.

Tak pernah dengar beliau mahu menyaman mereka yang mengkritiknya.

Ternyata Rina berjaya melepasi fasa itu dan sentuhannya semasa menjadi menteri sebenarnya masih dikenang terutama dalam bab menjaga kebajikan wanita dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Menurut sumber, semasa penamaan calon baru-baru ini – ada seorang warga emas datang memberi sokongan kepadanya sehingga Rina melutut di hadapan wanita berkenaan kerana terharu.

Malah semasa melakukan walkabout, ada OKU beria-ria mahu bergambar dengannya sedangkan dia cacat penglihatan.

Momen sedemikian menjadi semangat kepada Rina di sebalik kecaman kepada peribadinya.

Rina tidak menafikan beliau ada kekurangan dan kelemahan, namun keadaan itu telah mematangkan dirinya dalam arena politik. Lebih daripada itu di sebalik kekurangan dan kelemahan, beliau juga membawa bersamanya begitu banyak kelebihan.

Beliau merupakan Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Srikandi Bersatu.

Semasa menjadi menteri, Rina sebenarnya ahli Kabinet yang terbukti peranannya dan antara kejayaannya membawa Pelaksanaan Rang Undang- Undang Antigangguan Seksual (RUU AGS) sampai diluluskan di Parlimen.

Rina juga individu di sebalik usaha kerajaan dalam Pemberian Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) yang diberi secara one-off sebanyak RM300 kepada 150,000 ibu tunggal di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kini beliau mahu ia dilaksanakan pada perigkat DUN.

Satu lagi kejayaan Program Keusahawanan MyKASIH KAPITAL yang telah memberi manfaat kepada lebih 15, 000 wanita dalam kalangan B40 juga mahu digerakkan semula.

Itu belum lagi Inisiatif Wanita Bangkit Berniaga (WBB) yang dipeloporinya dengan harapan agar golongan wanita boleh hidup berdikari.

Ternyata Rina ada kualiti kepimpinan dan paling penting ia sudah terbukti walaupun ketika itu negara dalam kekangan pandemik Covid-19.

Berkhidmat untuk rakyat dan memperjuangkan agenda wanita, OKU dapat dilakukannya dalam waktu singkat.

Kendati pun, Rina mengaku masih berdebar-debar ketika namanya diumum sebagai calon DUN Batu Tiga baru-baru ini.

Ini kerana beliau sebelum ini tidak ada niat untuk kembali menjadi calon pilihan raya namun akur dengan keputusan pucuk pimpinan.

“Maka saya akur dengan nasihat parti dan melihat perkara ini amat penting untuk saya berkhidmat sebagai wakil rakyat supaya dapat mendekati rakyat dengan lebih dekat lagi selain arif dalam memahami isu-isu rakyat dan menggerakkan lebih banyak sumbangan kepada rakyat pasca Covid-19,” ujarnya.

Menurut Rina, golongan wanita perlu terus diperkasakan di semua peringkat dan kejayaan RUU Antigangguan Seksual 2021 ini sebagai pembuka kepada lebih banyak perjuangan untuk kaum wanita,” katanya.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN). Datuk Seri Rina Harun berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Selangor 2023 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2023.

“Saya dah tak sanggup dengar rintihan ibu-ibu tunggal, ia sangat menyesakkan jiwa saya. Bayangkan, seorang ibu yang sudah kehilangan suami atau bercerai, terpaksa berhempas pulas untuk membesarkan anak-anak.

“Kalau anak seorang tak apa lagi, kalau lebih dari seorang? Itu belum lagi memikirkan tentang kos perbelanjaan lainnya yang meningkat saban hari,” katanya.

Menyedari tidak semua bersetuju selepas namanya tersenarai sebagai calon PRN namun ia adalah kehendak parti.

“Merenung kembali dengan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 lepas serta beberapa isu yang melibatkan kepimpinan saya dulu.

“Saya bermuhasabah dan memohon keampunan terhadap segala salah-silap yang pernah saya lakukan sama ada secara sedar atau tidak.

“Namun saya tidak boleh mengalah dan patah semangat,” tegasnya.

Menurutnya, berbeza dari dahulu, PN merupakan pembangkang namun ia bukan penghalang walaupun mengakui bakal menghadapi kesukaran meneruskan agendanya.

“Kita perlukan lebih ramai calon dalam kalangan kaum wanita. Realitinya juga, semak-imbang dalam dunia politik bukan sahaja antara pihak kerajaan dan pembangkang malah antara ahli politik lelaki dan wanita,” katanya.

“Jaminan saya, menang atau kalah, saya akan terus berada di lapangan untuk mendengar suara dan rintihan rakyat. Tak ada jawatan sekali pun bukanlah bermakna saya kena berhenti berjuang tetapi tatkala berjawatan, kita wajib menyampaikan segala hasrat masyarakat dan merangka polisi serta undang-undang yang memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Baru sekarang kau sedar. Dulu masa kau jadi menteri ada kau kisah. Pembohong betul kau ni.

Comments are closed.