Zuraida (kiri) membantu calon PN DUN Bayan Lepas, Dominic (tengah) berkempen dengan mengadakan walkabout di Jalan Mahkamah di sini, hari ini.

BAYAN LEPAS – Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan kehadirannya membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, khususnya Gerakan, untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu di negeri itu.

Beliau yang juga Aktivis Politik PN berkata, ia secara langsung untuk memberi mesej jelas kepada masyarakat bukan Melayu di Pulau Pinang bahawa gelombang hijau hanya propaganda DAP untuk menakut-nakutkan, khususnya bangsa Cina.

“Saya akan memberi tumpuan untuk membantu PN menembusi kawasan serta pengundi bukan Melayu. Ini kerana saya rasa ketandusan PN adalah kepimpinan Melayu boleh diterima bangsa asing.

Zuraida.

“Jadi saya fikir boleh main peranan tersebut dan sebab itu saya membantu Gerakan agar dapat membawa satu imej lebih neutral yang boleh diterima semua masyarakat bukan imej hina sangat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Zuraida mengiringi calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (PN) Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau mengadakan walkabout di Jalan Mahkamah serta santai sarapan pagi di Fizzy Cafe, di sini.

Menurut Zuraida, selain Bayan Lepas, beliau juga akan membantu kempen di DUN Pantai Jerejak yang merupakan kerusi milik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada penggal lalu.

“Kalau kita lihat bekas wakil rakyat Pantai Jerejak tak buat kerja, dia (Saifuddin) lebih banyak cakap bohong (tipu) dalam televisyen daripada menyantuni rakyat.

“Sehubungan itu, kita turun berkempen untuk memberi pilihan kepada pengundi di Pulau Pinang khususnya bukan Melayu untuk membuat pilihan kerana kita mahukan ada semak dan imbang dalam sesebuah pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pencalonan Dominic bagi kerusi Bayan Lepas, Zuraida berkata, beliau melihat Presiden Gerakan itu mempunyai potensi menambat hati pengundi meskipun sokongan terhadap PH masih kuat.

Beliau juga menyifatkan penampilan Dominic yang sopan-santun serta fasih berbahasa Melayu membuat orang ramai mudah mendekatinya.

“Saya ini agak ganas sikit tapi dia (Dominic) lemah lembut, tahu budaya Melayu dan calon macam ini kita kena mampu sesuaikan diri dalam kalangan masyarakat Cina, India serta Melayu.

“Saya akan beri sokongan 200 peratus untuk memastikan kemenangan Dominic di kerusi ini dan saya yakin pengundi Bayan Lepas tidak akan menyesal sekiranya memberi mandat kepada beliau pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 pada 12 Ogos ini,” katanya.

DUN Bayan Lepas menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan penyandang kerusi berkenaan Azrul Mahathir Aziz (Pakatan Harapan) dan Dominic (PN).

Manakala DUN Pantai Jerejak menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, PH, MUDA dan PRM. – MalaysiaGazette