Pasukan Hazmat membuat kerja pengesanan menggunakan gasmet di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram.

JOHOR BAHRU – Seramai 28 warga Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram  mengalami simptom pening dan muntah petang semalam, dipercayai akibat pencemaran sisa kimia.

Mangsa-mangsa terdiri daripada 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Kvp Mohamed berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pencemaran bau kimia itu pada jam 3.13 petang.

Sejurus itu 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat beberapa mangsa mengalami pening dan muntah.

PKO bertindak membuat ‘size up’ bagi mencari punca bau pencemaran tersebut.

“Kesemua pelajar dan guru telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera.

“PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor.

“Pada jam lebih kurang 8 malam, pasukan HAZMAT telah membuat kerja-kerja pengesanan di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet.

“Lokasi pertama di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di Ladang Orkid. Hasil bacaan yang diterima di kedua lokasi adalah normal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohd Salleh berkata, proses pengesanan diteruskan dengan pasukan HAZMAT.

“Selepas membuat penilaian di lokasi sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan ‘methyl mercaptan’.

“Pasukan HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tanki ‘ibc’ yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran.

“Hasil dari penemuan itu operasi seterusnya diserahkan kepada JAS Johor untuk tindakan berkaitan,” katanya.- MalaysiaGazette