PUTRAJAYA – Penggunaan kad debit dan kad kredit sebagai mod pembayaran tol adalah usaha baik bagi mewujudkan persaingan sihat kepada Touch ‘n Go (TnG).
Hasrat itu menjadi harapan kebanyakan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) yang pertama melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) bermula hari ini.
Menurut mahasiswa, Hidayah Mohd Nizam, 20, yang kerap menggunakan MEX, langkah itu berjaya memecahkan monopoli TnG yang dilihat kurang kompetitif dengan teknologi masa kini.
“Bila saya guna kad debit tadi, sistemnya berkesan dengan baik. Selesai masalah saya, tiada lagi isu kad TnG tidak cukup baki kerana sistem kerap offline dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Rumah Rehat dan Rawat (RnR), Seri Kembangan, di sini, hari ini.
Dakwanya, kemudahan tambah nilai melalui kiosk rasmi TnG juga tidak begitu menyeluruh sehingga perlu ke premis terpilih dan ia tidak praktikal kerana dikenakan caj.
Perkara sama disuarakan pekerja swasta, Aminuddin Ishak, 35, selepas kerap terkandas di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
“Misalnya pelekat RFID ini agak mahal, harganya RM35 tetapi keberkesanannya kurang sehingga perlu mengundur di tol dan menyebabkan kesesakan. Jadi, memang bagus langkah kerajaan ini, sekurangnya ada persaingan buat TnG supaya kualiti juga ditambah baik,” ujarnya.
Pemerhatian MalaysiaGazette di lebuhraya berkenaan juga mendapati, kesemua kenderaan yang menggunakan mod pembayaran baharu itu berjalan lancar.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu memberi pilihan kepada pengguna berbanding kaedah sedia ada seperti TnG, SmartTag dan RFID.
“Buat permulaan, enam lorong dibuka untuk pengguna MEX menikmati kemudahan ini. Ia antara inisiatif kerajaan laksana SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September ini,” katanya.
Antara yang akan menyusul menggunakan SPT ialah Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Besraya, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
Selain itu, ia melibatkan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP). – MalaysiaGazette