Abdul Ghani Salleh

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ditetapkan pada 9 September 2023 berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon dijadualkan pada 26 Ogos manakala undi awal pada 5 September 2023.

Untuk itu, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram, Johor akan dibuka bermula hari ini, 3 Ogos 2023.

Permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Anggota/Pegawai SPR dan Petugas Media), Kategori 1B (Warganegara Malaysia yang tinggal di luar Negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi), dilaksanakan secara atas talian (online).

Bagi menjalankan proses PRK Parlimen Pulai, SPR telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh lima orang Penolong Pegawai Pengurus.

Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Manakala bagi menjalankan proses PRK DUN Simpang Jeram, SPR telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh tiga orang Penolong Pegawai Pengurus. SPR juga akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Bagi maksud PRK Parlimen Pulai, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Sementara PRK DUN  Simpang Jeram, Johor, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, akan digunakan sebagai PPC dan PPRU.

Abdul Ghani menambah, seramai 2,692 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai dan sebanyak 47 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 294 tempat mengundi/saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tiga tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi bagi PRK Parlimen Pulai adalah sebanyak 49 buah dengan 297 tempat mengundi/saluran.

Seramai 678 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Simpang Jeram, Johor dan 14 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 68 tempat mengundi/saluran akan digunakan.

Tambahnya, PRK Parlimen Pulai dianggarkan menggunakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK DUN Simpang Jeram dianggarkan sebanyak RM1.5 juta..

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Pulai, Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemaskini sehingga 23 Julai 2023.

Jumlah DPPR bagi PRK Parlimen Pulai seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 orang pengundi biasa, 927 orang polis dan 26 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Manakala DPPR bagi PRK Dewan Negeri Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

DPPR bagi kedua-dua PRK ini akan mula dijual pada 21 Ogos 2023 (Isnin).

Abdul Ghani berkata, para pengundi bagi kedua-dua PRK ini boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124.

Semakan maklumat pengundian akan mula dibuka pada 21 Ogos 2023 (Isnin). – MalaysiaGazette