Hockademy bekerjasama dua pihak di negara Matahari Terbit itu melibatkan Datuk Bandar Miyoshi, Hayashi Isoa dan syarikat Fine Strategy Inc JAPAN untuk memperkasakan sukan hoki di Malaysia dan Jepun.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pendidikan Hoki Kuala Lumpur (Hockademy) bakal menyediakan laluan kepada kepada atlet, pelajar dan kakitangan dalam memperkasakan sukan hoki di negara ini dan Jepun.

Usaha itu dilakukan Hockademy dengan kerjasama dua pihak di negara matahari terbit itu melibatkan Datuk Bandar Miyoshi, Hayashi Isoa dan syarikat Fine Strategy Inc JAPAN.

Perjanjian kerjasama ini akan berkuat kuasa serta merta selama tiga  tahun.

“Objektif perjanjian ini adalah untuk memberi peluang kepada atlit, pelajar dan kakitangan dari ketiga-tiga pihak untuk bekerjasama dalam memperkasakan sukan hoki di Jepun dan pertukaran budaya di antara dua negara.

“Ketiga-tiga pihak akan menjalankan kem latihan hoki di Jepun dan Malaysia untuk pelajar dari bangku sekolah rendah hingga ke pemain profesional.

“Di dalam perjanjian tersebut kesemua pihak akan menjalankan penganjuran perlawanan hoki antarabangsa, menjalankan kursus kerjurulatihan, mempromosikan sukan hoki, memberi pendidikan budaya antara dua negara dan memberi keutamaan kepada golongan orang kurang upaya yang ingin menyertai program ini,” kata Hockademy dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, majlis Perjanjian Kerjasama Pertukaran tersebut berlangsung di Hanno Civic Gymnasium Hanno City di Jepun

Tahun lalu, Hockademy turut memberi peluang kepada pemain-pemain hoki Bawah-12 tahun yang berbakat untuk menerima latihan di Jepun.

Inisiatif itu dilakukan menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa, Fine Strategy Inc yang sudah 20 tahun mempunyai hubungan perniagaan antara Malaysia dan Jepun.

Bagi terus mengeratkan hubungan baik dua hala ini, Kejohanan Hoki Piala Hironobu Konda diadakan dengan melibatkan lapan pasukan B-12 tahun dari seluruh negara. – MalaysiaGazette