Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kanan) melihat model Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil yang akan dibina.

JOHOR BAHRU – Kos pembinaan sebuah masjid baharu yang bakal dibina di Jalan Kolam Air, Johor Bahru merupakan sumbangan hasil peninggalan Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, sebagai penerima faraid Almarhum Tunku Abdul Jalil, baginda bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah enggan mengambil wang peninggalan Almarhum.

“Sebagai ibu dan bapa Almarhum Jalil, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk menyumbangkan peninggalan Almarhum kepada kerajaan negeri untuk dibina masjid baharu ini yang saya akan namakan sebagai Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil,” titah baginda kepada Royal Press Office.

Titah Sultan Ibrahim, pecah tanah bagi memulakan kerja-kerja pembinaan dijangka sebelum bulan November 2023 dan masjid itu direka bentuk oleh baginda sendiri.

“Saya mengambil inspirasi daripada Istana Bukit Serene untuk reka bentuk masjid ini, dan ia bakal memuatkan kira-kira 1,000 jemaah apabila siap nanti,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Datuk  Yahya Ahmad, Mufti Johor, dan Ir. Abu Bakar Abd Aziz, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor.

Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim telah dipersembahkan tentang perancangan pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil dan turut meninjau model binaan masjid itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast