Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyantuni pelajar MARA semasa membantu calon Barisan Nasional (BN) N.04 Ayer Hitam, Hayazi Azizan berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Kuala Jerlun, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

JERLUN – Jentera bagi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang mula menjalinkan kerjasama sejak bermula  kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu kini dilihat semakin akrab.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keakraban itu mula dilihat sejak kedua-dua jentera gabungan itu bekerjasama di peringkat kawasan masing-masing bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat peringkat jentera mereka amat memahaminya dan bila jentera mula berkerjasama dengan akrab inilah yang memungkinkan untuk kita bergerak dengan lebih berkesan di akar umbi.

“Keduanya, saya melihat gelombang peringkat rakyat makin lama makin bertambah, mungkin juga disebabkan oleh siri-siri pendedahan yang dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan juga orang Melayu kita ini dia akhirnya akan tengok soal adab, akhlak dan bagaimana kita nak pastikan anak-anak kita akan datang dan generasi muda yang memerlukan contoh pemimpin yang baik berintegriti dan penuh dengan akhlak,” katanya ketika siri walkabout bersama calon BN di Jerlun di sini hari ini.

Hadir sama adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Hayazi Azizan.

Jelas Asyraf Wajdi lagi, walaupun melihat PH-BN sebagai underdog di Kedah namun ia seumpama uji kaji apabila ia merupakan kerjasama julung kali dibuat oleh kedua-dua gabungan parti berkenaan.

“Kita sentiasa meletakkan diri kita sebagai underdog dan yang paling penting lagi, kita rasa seronok ialah pertama kerjasama yang amat baik sekali antara jentera BN dan jentera PH kerana ini kali pertama kita bekerjasama dalam keadaan di mana ahli-ahli UMNO belum semua yang memahami kenapa kita bekerjasama.

“Mereka ingat kita merencanakan perkara ini sedangkan ini merupakan satu kita tidak pernah gambarkan dalam pemikiran kita tapi yang pentingnya kita bersama dengan parti lain,” katanya lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama calon Barisan Nasional (BN) N.04 Ayer Hitam, Hayazi Azizan beramah mesra bersama penduduk semasa berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Kuala Jerlun, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mahu pengundi menjadikan asas keperibadian seorang pemimpin sebagai kayu pengukur dalam menentukan kerajaan mana yang layak untuk mentadbir kerajaan Kedah.

Jelasnya, pemimpin yang biadap terhadap institusi beraja di negara ini perlu ditolak agar menjadi pengajaran kepada mana-mana parti politik yang tidak menghormati raja-raja Melayu.

“Bagaimana kita nak pastikan anak-anak kita akan datang dan generasi muda yang memerlukan contoh pemimpin yang baik berintegriti dan penuh dengan akhlak.

“Tidak sewenang-wenangnya melafazkan perkataan mencarut dan nista apatah lagi datang dari seorang pemimpin.

“Lebih mendukacitakan bila kita menunjukan akhlak yang tidak baik apabila kita memerli dan mencerca secara tidak langsung meremehkan institusi beraja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast