KERAJAAN perlu segera mempertimbangkan salah satu cadangan yang telah dibentangkan (pada tahun 2020) oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (Electoral Reform Committee) iaitu pengenalan kepada sistem Closed List Proportional Representation (CLPR) di peringkat Dewan Rakyat. Kini tiba masanya untuk Kerajaan meneliti pelaksanaan sistem Proportional Representation yang bersesuaian mengikut 3 wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) serta menjamin 1/3 kerusi Parlimen daripada Sabah dan Sarawak.
Sepertimana yang dicadangkan oleh ERC sebelum ini, Kerajaan boleh mengekalkan sistem Pemenang Undi Terbanyak (FPTP) sedia ada kepada Dewan Undangan Negeri, bermaksud ADUN yang dipilih akan memberikan khidmat bakti di kawasannya dan membawa usul-usul berkaitan ke peringkat Negeri. Manakala, ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui Sistem Perwakilan Berkadar boleh menyumbangkan tenaga penuhnya dalam proses pembentukan dasar dan hala tuju negara.
Ia amat penting untuk kita mengecualikan ahli Dewan Rakyat daripada tanggungjawab kawasan, dan memberikan mereka ruang yang sepenuh dalam bergiat aktif di peringkat Persekutuan. Melalui cara ini juga, takwim persidangan parlimen boleh dipanjangkan dan lebih banyak sesi diberi kepada ahli parlimen untuk terlibat dalam perbahasan dan pembentangan kepentingan awam.
Pemahaman kepada keadaan demografi di kebanyakan kawasan di Semenanjung menunjukkan bahawa peluang perwakilan minoriti adalah amat terhad dan berkemungkinan besar boleh diabaikan pada masa akan datang. Sistem yang dipraktikkan pada hari ini tidak memberi sebarang kelebihan kepada perwakilan inklusif. Contohnya, tiada mana-mana kawasan parlimen di Malaysia yang mempunyai majoriti lebih 50% bagi masyarakat India (yang mempunyai 6.7% daripada jumlah penduduk Malaysia) dan Orang Asal. Kalau perkara ini berlanjutan, maka suatu hari nanti kita tidak akan mempunyai ahli parlimen dalam kalangan masyarakat minoriti tersebut.
Juga, kita perlu menegaskan keperluan kesaksamaan gender di dalam politik. Pada masa kini, hanya seramai 30 (13.5%) Ahli Dewan Rakyat wanita dalam Parlimen kita. Mengikut data MyCensus 2020, populasi wanita di Malaysia adalah 47.7%. Perbezaan ini amat ketara dan aspirasi Kerajaan 30% kuota kepada wanita masih kurang memuaskan.
Antara lain, sentimen kerusi majoriti sesebuah kaum juga kian hari kian merisaukan. Sebagai contoh, cara PAS melayan seorang calon Perikatan Nasional yang juga merupakan presiden parti komponennya di Pulau Pinang beberapa hari yang lalu amat mendukacitakan dan mencemarkan silaturahim yang telah kita bina selama ini. Walaupun kepimpinan PAS telah memohon maaf, but damage has been done, tiada siapa boleh mengubah cakaran tersebut.
Selain isu-isu asas seperti gerrymandering (persempadanan yang berat sebelah) dan malapportionment (ketidakseimbangan) yang sering dilibatkan dengan persempadanan kawasan pilihan raya, negara kini perlu berubah ke arah yang lebih inklusif dan peralihan tersebut perlu menekankan penyatuan bangsa Malaysia.
Kita perlu begerak keluar dari istilah ‘ini kerusi Melayu’, ‘ini kerusi Cina’. Saya faham bahawa terdapat beberapa pandangan yang menimbulkan sangkaan kurang tepat berkenaan Sistem Perwakilan Berkadar, namun Malaysia mempunyai pakar-pakar di setiap cabang sistem demokrasi termasuk pembuat dasar yang akan pasti mengemudi sebuah Sistem Perwakilan Berkadar yang bersesuaian dan menepati kegemilangan negara. Kita perlu bergerak ke hadapan, kerajaan perlu segera bertindak dalam mendekati sistem alternatif terbaik.
Srideran Tamil Mogan
Penganalisis politik di salah sebuah institut kajian di sekitar Kuala Lumpur, dan sedang mengikuti pengajian Kedoktoran dalam bidang pengurusan awam di universiti awam