BUTTERWORTH – Pekerja ladang kelapa sawit yang bertindak membakar isterinya hingga parah direman selama enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek berusia 36 tahun direman sehingga 9 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan kita mendapati pergaduhan antara suami isteri itu membabitkan hal rumah tangga dan ketika kejadian suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
“Suspek juga mengaku melarikan diri selepas takut melihat isterinya terbakar.
“Selain itu, saringan ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia negatif daripada sebarang pengambilan dadah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan keadaan isteri suspek, Mohd Asri berkata, mangsa kritikal dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
“Mangsa masih tidak sedarkan diri selain menggunakan bantuan alat pernafasan dan satu pembedahan akan dilakukan ke atasnya petang ini,” katanya.
Semalam polis menahan suspek di rumah abangnya di Jalan Bukit Panchor, Nibong Tebal kira-kira pukul 1 tengah hari.
Suspek dikatakan melarikan diri sejak Isnin lalu selepas bertindak membakar isterinya di rumah mereka di ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor.
Akibat kejadian itu, mangsa berusia 35 tahun melecur 27 peratus pada anggota badan susulan dibakar menggunakan petrol. – MalaysiaGazette