Model BMW iX M60

KUALA LUMPUR – BMW Malaysia hari ini memperkenalkan BMW iX M60, jentera SAV (kenderaan aktiviti sukan) elektrik sulung dalam segmen kenderaan sport berprestasi tinggi mereka selepas xDrive40, xDrive40 Sport and xDrive50 Sport.

Sebagai model SAV elektrik pertama bagi portfolio BMW M, BMW iX M60 menampilkan aneka teknologi canggih berserta karakteristik pemanduan yang luar biasa seperti yang dijanjikan oleh jentera-jentera M Performance.

BMW iX M60 mampu menjana output maksimum mencecah 455 kW/619 kk serta jarak operasi elektrik sejauh 561 kilometer (WLTP) – menjadikannya antara model elektrik terpantas dalam portfolio kenderaan prestasi yang bertaraf premium – dipacu oleh ciri aerodinamik yang optimum dengan pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.26.

Juga sempurna bersama rekaan bunyi serba emotif daripada BMW M IconicSounds Electric yang digubah oleh Hans Zimmer, fungsi Launch Control yang membolehkan jentera ini meledak dari posisi henti dengan nilai torknya yang menjangkau 1,100 Nm berserta kuasa maksimum sebanyak 619 kk, mencapai 100 km/j dengan pecutan bebas gelincir dalam masa 3.8 saat sahaja dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 250km/j.

BMW iX M60 membekalkan sebuah pengalaman pemanduan serba baharu bagi jentera SAV dengan bateri voltan tingginya yang terletak di dalam lantai kenderaan di antara gandar hadapan dan belakang, yang memastikan pusat graviti yang rendah di samping pacuan elektrik yang lancar.

Konsep ‘spaceframe’ aluminium serta sangkar karbon dengan plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) pada bahagian atas, sisi dan belakang menggandingkan ciri ketegaran tinggi dengan pengagihan berat 50/50 yang optimum.

Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung turut dilengkapi dengan brek M Sport berserta angkup biru, suspensi udara dwigandar adaptif dengan penalaan dan komponen M, di samping stering aktif integral. Tambahan lagi, dua motor elektrik berasingan menyalurkan kuasa kepada setiap gandar sebagai unit-unit segerak berasaskan arus, satu konsep rekaan yang tidak memerlukan penggunaan logam nadir bumi.

Sistem pacuan semua roda elektrik di dalam BMW iX M60 turut menyalurkan pacuan tork pada kadar yang tepat kepada roda hadapan dan belakang dalam semua situasi pemanduan.

Manakala sistem kawalan pintarnya membekalkan transmisi kuasa boleh ubah yang mencakupi keupayaan pacuan roda belakang yang benar-benar efisien hingga ke tetapan pacuan semua roda yang memaksimumkan cengkaman.

Teknologi pengehad kegelinciran roda ‘near actuator’ yang dimuatkan buat julung kali sejajar dengan sistem pacuan semua roda berfungsi untuk menaik taraf cengkaman dan juga kestabilan pengendalian.

Diintegrasikan ke dalam sistem pengurusan motor, ia menjana input pembetulan yang jitu dan amat pantas, justeru membolehkan kenderaan ini terus melakar prestasi yang cemerlang pada setiap masa, termasuk dalam kondisi cuaca dan jalan yang mencabar.

Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung didatangkan dengan daya pengecasan berkuasa tinggi pada kadar mencecah 195 kW, memudahkan penggunaan dengan mengecas kenderaan tersebut dari 0% hingga 80% hanya dalam masa 35 minit.

BMW iX M60 juga merupakan jentera BMW pertama di Malaysia yangmenerima suapan kuasa sebanyak 22kW daripada AC Wallbox Charger, yang secara signifikannya mengurangkan waktu pengecasan kepada bawah 5.5 jam untuk pengecasan penuh dari 0 hingga 100%, manakala melalui AC Wallbox Charger 11kW, ia dapat dicas dari 0 hingga 100% dalam tempoh 11 jam.

Pemilik jentera BMW iX M60 juga dapat menikmati akses pengecasan di lebih 1,000 buah fasiliti pengecasan yang terletak di seluruh negara, dikuasakan oleh para pembekal solusi pengecasan EV tempatan yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.

Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung akan dilengkapi dengan set roda aerodinamik M BMW Individual 22 inci dalam dwiwarna 1023 berserta gilapan 3D gangsa titanium. Jata model ini juga akan disediakan secara eksklusif dalam warna hitam berglos tinggi atau gangsa titanium untuk BMW iX M60 sahaja.

Turut menjadi tumpuan di dalam BMW iX M60 baharu ialah sistem bunyi Keliling Bower and Wilkins Diamond, membekalkan kualiti bunyi dalam kenderaan yang paling mengagumkan, justeru pemandu dapat mengamati sebuah pengalaman bunyi ibarat studio rakaman, sebuah konsep yang disebut sebagai bunyi sebenar.

Bahasa reka bentuk yang mewah dapat dilihat pada ruang kabin kenderaan ini, berlatarkan pilihan upholsteri yang terdiri daripada Interior Design Suite Amido dan Interior Design Suite Castanea, turut disempurnakan dengan konsol sentral dan ruang meletak tangan yang bermaterialkan Sensatec.

BMW Live Cockpit Professional sentiasa bersedia untuk mengalu-alukan pemandunya, didatangkan dengan skrin paparan instrumen melekuk bersaiz 12.3 inci dan skrin paparan sentral 14.9 inci yang disediakan secara standard.

Keselesaan dan kemudahan ditawarkan dalam bentuk kerusi multifungsi bagi pemandu, dan ia turut dinaik taraf dengan ruang pengecasan tanpa wayar serta penyaman udara automatik 4 zon.

Pilihan warna standard bagi jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung ini meliputi Mineral White, Alpine White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, dan Blue Ridge Mountain Metallic.

Dua warna istimewa juga ditawarkan, iaitu Individual Storm Bay Metallic dan Aventurine Red Metallic.

Bagi ruang interior, pengguna boleh memilih antara Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Hitam, ataupun Interior Design Suite dalam warna Amido atau Castanea.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast