Dayang Suhana dan anaknya Intan Nur Dayana Mohd Jusoh ketika ditemui di Sungai Lembing .

KUANTAN – Kasihnya ibu sampai ke syurga!

Itu yang diharungi Dayang Suhana Abdullah yang sanggup kesakitan sendiri demi memberi sepenuh perhatian terhadap anak bongsunya yang lumpuh separuh badan.

Menurut wanita berusia 44 tahun itu, anaknya, Intan Nur Dayana Mohd Jusoh, 9, yang mesra disapa Dhia disahkan menghidap kanser saraf tunjang sejak tiga tahun lalu dan memerlukannya setiap masa untuk menjaga keperluan hariannya.

Sampaikan ibu kepada lima anak itu enggan ke hospital walaupun dirinya sudah di didiagnos menghidap simptom kanser limfoma.

“Andai kata doktor sahkan betul kanser limfoma, mungkin saya kena selalu berulang-alik untuk rawatan. Saya tak sanggup nak lepas anak Dhia. Tiada siapa nak jaga. Jadi saya abaikan sakit saya, buat-buat sihat, asal saya boleh berniaga dan jaga Dhia,” katanya.

Ketika ditemui di kediamannya di Sungai Lembing – wanita cekal ini memberitahu, benjolan di sekitar lehernya masih timbul malah keadaannya semakin memburuk sehingga membuatkannya bimbang.

Dayang Suhana Abdullah mengusap kaki anaknya yang lumpuh di kediaman mereka di Sungai Lembing

Namun memikirkan nasib si anak yang baharu sahaja boleh menerima takdir lumpuh separuh badan, Suhana membenamkan kebimbangannya dan berserah kepada Allah.

Dia yang berkerja sebagai peniaga roti canai berkata, Dhia yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) Lembing pada mulanya tidak dapat menerima hakikat dirinya sakit.

Bercerita tentang detik pilu itu, Suhana berkata, Dhia seorang kanak-kanak aktif namun sakit kaki yang dialami secara tiba-tiba sekitar tahun 2021 menyebabkan tidak boleh berjalan.

“Bermula dia mengadu sakit kaki ketika saya bersiap untuk berniaga. Kemudian hantar ke hospital untuk pemeriksaan. Dalam masa sama dia mengadu kebas kaki, tak boleh buang air kecil, air besar. Dia mengadu dengan saya sambil menangis.

“Doktor terus buat CT Scan. Doktor cakap, anak saya ada kanser. Masa itu saya terus terduduk, meraung, menangis semua. Tak dapat nak bayangkan macam mana,”ceritanya sambil menahan tamgisan.

Dhia kini perlu menjalani fisioterapi selain rawatan susulan seperti Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan ujian Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan)  di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

“Itu antara rawatan yang perlu Dhia jalani. Jadi, saya sebagai ibu sentiasa memastikan rawatan terbabit dijalani dengan harapan Dhia dapat kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

Dalam pada itu, Suhana masih berniaga dengan menjual roti canai di Pekan Sungai Lembing bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, dia bersyukur bantuan daripada Pusat Zakat sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 banyak membantunya dalam memenuhi keperluan Dhia seperti lampin pakai buang dan susu formula khas.

“Dalam seminggu dua atau tiga kali saya boleh berniaga dan dapat hasil dalam RM20 hingga RM40 sehari. Wang itu saya kumpul sedikit untuk teruskan hidup.

“Saya juga ada mendapat sumbangan daripada jiran dan saudara mara terdekat kerana mereka faham keadaan yang yang tiada pendapatan tetap,” katanya.

Persatuan Ziarah Sahabat Kanser dan wakil sebuah syarikat swasta yang menyantuni Dhia (berkerusi roda) bergambar kenangan di Sungai Lembing

Ketika tinjauan ke kediamannya, Suhana turut dilawati Persatuan Ziarah Sahabat Kanser yang menghulurkan sumbangan keperluan harian kepada keluarganya serta sebuah tablet yang disumbangkan oleh sebuah syarikat.

Lawatan yang diketuai pengerusi persatuan itu, Zaki Yahya bersama lebih 10 ahlinya yang turut meluangkan lebih dua jam memberi sokongan moral kepada Suhana dan Dhia memandangkan mereka juga merupakan antara bekas pesakit kanser.

Difahamkan, Dhia masih memerlukan kerusi roda baharu yang sesuai dengan fizikalnya ekoran kemudahan yang ada sudah tidak sesuai.

Kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Dayang Suhana Abdullah di talian 011-298 57822. – MalaysiaGazette