Anthony Loke.

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan wujud komplot menjatuhkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow daripada mentadbir Pulau Pinang sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) 12 Ogos ini.

Jelas beliau, pendirian DAP tegas dan terbuka bahawa Kon Yeow yang dicalonkan sebagai ketua menteri akan kekal sepanjang penggal depan sekirang Pakatan Harapan kekal mentadbir negeri itu.

Katanya, DAP juga akan memberikan sokongan penuh terhadap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota itu memimpin Kerajaan Pulau Pinang.

“Siapa punya rancangan (jatuhkan Kon Yeow)? Jangan dengar dakwaan-dakwaan tidak sahih dan berasas itu malah mereka tidak mewakili pendirian DAP.

“Saya selaku SUA (setiausaha agung) DAP sudah beri kenyataan secara jelas dan terbuka bahawa pemilihan calon ketua menteri bagi penggal ini ialah Kon Yeow dan beliau akan memegang jawatan itu sepanjang penggal.

”Apa-apa pun terlebih dahulu Kon Yeow kena memenangi kerusi di DUN Padang Kota selepas itu kita akan mencalonkan nama beliau untuk dilantik sebagai Ketua Menteri oleh Yang Di-Pertua Negeri (TYT),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat ‘pakatan’ untuk memastikan Kon Yeow tidak akan memenuhi tempoh penggal pemerintahan kerajaan negeri depan meskipun DAP sudah mengumumkan beliau adalah calon ketua menteri.

Anthony Loke pada Majlis Pecah Tanah dan Pembinaan Bangunan Baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Anthony Loke merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang di Jalan Lim Lean Teng di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dan calon PH bagi DUN Air Putih, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, dakwaan  lain mengenai parti DAP khususnya di Pulau Pinang sengaja diada-adakan untuk mengeruhkan keadaan selain mengambil kesempatan bagi menimbulkan keadaan tidak menentu dalam kalangan rakyat.

“Saya harap rakyat tidak terpengaruh, dakwaan itu dibuat oleh orang yang kecewa kerana tidak dapat jadi calon dan bila kecewa, mereka buat bermacam-macam dakwaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast