Datin Sabrina Ahmad
Sabrina Ahmad

JITRA – Datin Sabrina Ahmad, 45, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra berjanji akan mewujudkan pusat khidmat bergerak sekiranya rakyat di kawasan itu memilih beliau pada 12 Ogos depan.

Katanya, pusat khidmat itu merupakan manifestasi kepada pengundi-pengundi dengan mengutamakan cara penyelesaian pantas kepada penduduk Jitra.

“Saya telah pun berikrar untuk membuka satu pusat khidmat bergerak terus kepada pengundi di Jitra.

“Ia bertujuan bukan untuk tumpu kepada isu kemiskinan sahaja, mana-mana kawasan pun pasti ada kemiskinan dan kita kena berusaha untuk menaik taraf hidup masyarakat.

“Kita pastikan kita kena turun lagi ke lapangan sebab kami orang biasa yang bekerja bersama-sama dan boleh berjalan seiring,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sabrina yang mewakili PH berdepan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah, 50, mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sepanjang berkempen, Sabrina berkata, pegundi di kawasan ini semakin yakin dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Satu impak yang besar (kehadiran pemimpin utama Kerajaan Perpaduan) sebab penerangan dan penjelasan dari mereka bersertakan fakta dan bukti, bukan cakap kosong.

“Ini menjadikan gelombang sokongan semakin meningkat hari ke hari,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada PRU14 2018, kerusi DUN Jitra dimenangi PH dengan majoriti 10,849 undi melalui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast