Surash membuat laporan polis menafikan tuduhan beliau terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap di negara ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan, tengah hari tadi.

JEMPOL – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S. Surash menafikan terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap di negara ini.

Menurutnya, dakwaan seperti ditularkan melalui klip video berdurasi 4 minit 11 saat sejak semalam adalah fitnah yang hanya bertujuan merosakkan kepercayaan pengundi terhadapnya sepanjang kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 12 Ogos ini.

“Antara fitnah di dalam video itu adalah saya terlibat dalam kumpulan kongsi gelap, memiliki kekayaan luar biasa pada usia muda selain latar belakang pendidikan saya.

“Video itu juga mendakwa perniagaan saya berselindung di sebalik aktiviti haram sedangkan semua itu tidak berasas sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, jutawan perniagaan berusia 49 tahun itu membuat laporan polis menafikan tuduhan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Mengulas lanjut, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan itu berkata, laporan dibuat supaya masyarakat luar tidak termakan modal kempen murahan itu walaupun beliau yakin ia tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat DUN berkenaan terhadapnya.

“Untuk pengundi DUN Jeram Padang, saya tahu mereka takkan percaya tuduhan ini sebab mereka sudah lama mengenali saya.

“Kalau nak kaitkan kekayaan saya menjadi calon, itu memang penampilan saya dari dulu, dah berpuluh tahun begitu dan bukannya sewaktu PRN ini sahaja,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol Superitendan Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pada PRN 12 Ogos ini, Surash bakal berdepan calon muka baharu mewakili BN, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir.

Ketika PRU14, Surash tewas kepada Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L. Manickam di kubu kuat MIC itu sejak 30 tahun lalu.

Manickam memperoleh 3,702 undi menewaskan Surash yang mendapat 2,640 undi, calon Parti Keadilan Rakyat (2,302) dan Pas mendapat 785 undi. – MalaysiaGazette