Salah satu kawasan yang akan digunakan untuk membina asrama warga asing di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. - Gambar file

TELUK KUMBAR – Penduduk sekitar Teluk Kumbar mengharapkan parti politik yang akan mendapat mandat membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) 12 Ogos nanti membatalkan hasrat pembinaan asrama warga asing di kawasan tersebut.

Rata-rata mereka meluahkan rasa bimbang mengenai keselamatan serta isu sosial masyarakat setempat sekiranya kawasan itu menjadi penempatan jangkaan 40,000 warga asing.

Menurut Shahbudin Saat, 54, dia tidak mahu Teluk Kumbar ini ‘dijajah’ warga asing seperti mana yang berlaku di Pasar Selayang, Selangor.

Shahbudin.

Jelas pekerja swasta itu, sepatutnya Kerajaan Negeri mempertahankan kawasan ini sebagai Kampung Warisan Melayu memandangkan di bahagian Pulau hanya kawasan ini yang masih ada orang Melayu.

“Saya memang tak setuju 100 peratus dengan pembinaan asrama warga asing di sini kerana ia dibimbangi akan memberi banyak keburukan termasuk kejutan budaya serta masalah sosial kepada penduduk tempatan.

“Bayangkan anggaran penduduk di sini 15,000 orang jika mereka dibawa masuk dengan jangkaan 20,000 hingga 40,000 apa akan jadi? Semestinya mereka akan lebih besar kepala,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shahbudin, pembinaan asrama warga asing itu perlu dilakukan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sekiranya Kerajaan Negeri masih berdegil untuk meneruskan projek tersebut.

“Kalau dalam peta, baki kawasan Melayu ini besar tapak tangan saja di Barat Daya ini. Jadi suruh depa (kerajaan negeri) letak warga asing itu di Komtar, sana kosong belambak buat apa nak bazir duit bina bangunan baru untuk warga asing di sini.

“Ikutkan kami sudah tak tahu nak mengadu kepada siapa berhubung bantahan projek ini kerana an ketidakpuasan hati berhubung pembinaan ini telah dimaklumkan kepada wakil rakyat dan kami diberitahu status projek kini ‘on hold’.

“Saya sebagai penduduk di sini, saya dan rakan-rakan akan terus pertahankan kampung ini sebagai warisan orang Melayu,” katanya.

Suraini.

Bagi Suraini Abdullah, 52, dia mengharapkan pembinaan asrama warga asing itu dilakukan di kawasan lain memandangkan penempatan mereka sudah selesa dengan keharmonian penduduk tempatan.

“Tak payahlah bawa warga asing mai sini, semua orang kampung.. buat apa depa nak bawa masuk warga asing di sini? Kerja apa yang pendatang asing ini nak buat ?

“Kalau kata mai untuk kerja kilang lagi banyak kilang dah tutup jadi nanti depa mai nak buat apa? Ini semua akan timbul masalah kepada penduduk tambahan pula bagi kami yang mempunyai anak-anak gadis.

“Bukan saja itu, jika mereka lebih ramai boleh jadi perniagaan pun mereka ‘bolot’ dan jika itu berlaku apa nasib orang kita di sini yang hidup dengan keharmonian pelbagai kaum,” soalnya.

Sementara itu, Abdullah Yusoff, 63, berkata, kesesakan lalu lintas di kawasan Teluk Kumbar bermula di Sungai Batu sudah membebankan penduduk dan ia akan menjadi lebih teruk sekiranya asrama warga asing dibina.

“Sekarang pun dari Bukit Belah ke Puspakom kami kena hadap jam, bayangkan warga asing mai konon nak kerja kilang dan bas kilang masuk sini apa akan jadi dengan penduduk?

“Ramai penduduk berdepan situasi lambat ke kerja atau hantar anak ke sekolah dan masalah lalu lintas ini akan jadi barah jika ada asrama warga asing.

“Jadi kami harap bukan saja jangan bina asrama warga asing tapi tolong bina atau cari laluan alternatif kerana penempatan di sini semakin banyak dengan perumahan-perumahan baharu,” katanya.

Media tempatan pada 12 Oktober 2021 melaporkan, penduduk Teluk Kumbar di sini membantah keras cadangan membina tiga projek bangunan asrama yang bakal menempatkan hampir 50,000 pekerja asing di kawasan itu.

Mereka yang mewakili penduduk Kampung Masjid; Kampung Paya; Sungai Batu; Kampung Matahari Naik dan Taman Perda berkumpul secara aman di persimpangan jalan Tingkat Teluk Kumbar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast