Temubual bersama Peguam Lukman Sheriff undang-undang Syariah di Ukay Perdana , Ampang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda supaya jenayah syariah dibicarakan di Mahkamah Syariah tanpa boleh dicabar di Mahkamah Sivil.

Menurut peguam Lukman Sheriff Alias, 54, pindaan tersebut perlu sekurang-kurangnya memastikan mahkamah sivil mengiktiraf kewujudan jenayah syariah.

Desakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Iki Putra Mubarak pada 2021 yang dikhuatiri akan menyebabkan bidang jenayah syariah terus dicabar.

“Pertama elok kita pergi ke mahkamah dahulu. Kita nak menetapkan keputusan ini berterusan atau tidak. Tapi bagi saya sejak Iki Putra dulu saya rasa mahkamah jelas memberi keputusan bahawa Perlembagaan kita hendaklah diinterpritasi, ditakrifkan agar negeri tidak ada bidang kuasa terhadap jenayah.

“Kalaulah pendirian mahkamah itu tetap bermakna ini menjadi undang-undang sekarang. Kita tidak ada cara lain kecuali pinda Perlembagaan.

“Bagaimana kita nak pinda? Ada peruntukan ia memerlukan dua per tiga daripada ahli Parlimen (membuat usul serta bersetuju) dan elok dapatkan perkenan Majlis Raja-Raja kerana ia bergantung apa yang hendak dipinda. Ini merupakan bidang kuasa negeri dan melibatkan kuasa raja-raja,” katanya.

Lukman Sheriff merupakan antara 200 peguam yang menandatangani petisyen pada Mac 2021 bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berbeza daripada keputusan sebelum ini, sekali gus menghadkan lagi bidang kuasa negeri menggubal jenayah syariah.

Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.

Namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Terkini 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan bakal dicabar di Mahkamah Persekutuan Kota Bharu pada 18 Ogos ini.

Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA) itu berkata, sebelum ini bidang kuasa mahkamah syariah dan sivil ‘diharmonikan’ sehinggalah kes Ika Putra berlaku.

“Mengikut kes Iki Putra, negeri tidak ada kuasa lagi. Dan kalau kita lihat kes yang akan dibawa di Kelantan ia mencabar kesalahan berjudi, ia juga mencabar kesalahan minum arak misalnya.

“Jadi masalah undang-undang lebih besar. Kalau kita ikut kes Iki Putra makna negeri tidak ada kuasa menghalang untuk berjudi, ia bukan kesalahan jenayah, atau jenayah minum arak.

“Katalah kita ikut hujah-hujah Iki Putra, jenayah-jenayah ini merupakan kuasa Persekutuan. Jadi bermakna, negeri tidak ada kuasa selepas ini,” katanya.

Kes Iki Putra katanya, boleh mewujudkan kelompongan penguatkuasaan terhadap perbuatan yang dianggap salah di dalam Islam.

Ini kerana sekiranya sesuatu perbuatan tidak boleh dihukum di mahkamah syariah dan perbuatan itu tidak dihukum di peringkat Persekutuan kerana dianggap sebagai satu bentuk diskrimiasi disebabkan tidak boleh dikuatkuasa kepada orang Islam sahaja.

“Jadi kalau negeri tak boleh buat, Persekutuan tak boleh buat, Siapa ada kuasa melarang umat Islam berjudi (atau jenayah Islam lain)? Itulah permasalah undang-undang yang ketara daripada kes Iki Putra.

Create a lacuna in law. Makna (ada) kelompongan undang-undang. Sebab itu saya rasa kes Iki Purta mempunyai implikasi yang besar,” jelas beliau.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kes Iki Putra akan memberi kesan domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri. – MalaysiaGazette