PADANG TERAP – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melepaskan ‘bom’ menerusi pendedahan tentang penglibatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE).
Saifuddin Nasution mempersoalkan mengapa Sanusi memberikan surat izin memasuki hutan simpan simpanan Bukit Enggang kepada Mahir Binari yang didakwa milik Ho Chung Meng.
“Surat pada 15 Mei 2023 kepada Mahir Binari dikeluarkan untuk beri izin supaya Mahir Binari dapat masuk untuk tujuan pembangunan seluas 500 hektar, Mahir Binari ini milik Ho Chung Meng.
“Dia inilah yang ditangkap jadi persoalannya adalah ketika dia ditangkap pada bulan Januari 2023, dan dia telah bayar kompaun RM130,000 dan bayar kompaun bagi pihak MBI RM500,000.
“Inilah Ho Chung Ming, dia adalah Mahir Binari,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Pekan Naka, di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, Chung Meng adalah salah seorang individu daripada 40 yang dituduh menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggan pada Januari lalu.
Justeru itu, Saifuddin Nasution pelik kerana selepas sebulan ditahan, Sanusi telah memberikan surat izin kepada Chung Meng untuk memasuki semula Hutan Simpan Bukit Enggang.
“Tangkapan mula dahulu bulan Januari kemudian bebas, 15 Mei dia dapat lagi surat untuk izin masuk ke kawasan itu untuk tujuan pembangunan hutan di kawasan sama.
“Tidak lama selepas itu 22 Jun dia ditangkap, jadi kita tanya dengan Sanusi sampai bila dia nak pertahankan insiden kecurian ini.
“Kenapa mesti dikeluarkan lagi surat untuk orang yang sama yang telah ditangkap dan dikompaun atas kesalahan menceroboh hutan simpan,” katanya.
Berikutan itu, Saifuddin Nasution mencabar Sanusi untuk menjawab persoalan tersebut sedangkan Mahir Binari adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam insiden kecurian REE tersebut.
“Saya nak tengok apa jawapan dia dan sidang media selepas ini saya akan bagi satu lagi pendedahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette