SEKINCHAN – Calon Barisan Nasional N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin sedia sepentas dengan calon Perikatan Nasional (PN), Razali Shaari berdebat secara terbuka tentang Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).
Mohd Imran berkata, malah beliau sedia berdebat dengan mana-mana pimpinan pembangkang bagi menyatakan aspirasi masing-masing dalam memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar itu.
“Saya memang bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja sama ada pesaing ataupun daripada parti lawan.
“Yang mustahaknya kita mengadakan satu perdebatan yang objektif, bersifat progresif dan saya bersedia pada bila-bila masa.
“Ini adalah sesuatu yang sihat kerana kita dapat melihat percambahan idea dan aspirasi setiap calon-calon yang ditonjolkan dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan kerusi N03 Sungai Panjang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Imran dan pencabarnya, Razali yang merupakan calon kitar semula sejak dua pilihan raya lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Imranmemenangi kerusi N03 Sungai Panjang dengan majoriti 2,084 undi selepas menewaskan calon daripada Pas dan PKR.
Pentas debat ataupun perbahasan itu bukan asing buat Mohd Imran, bahkan beliau pernah diundang beberapa kali sepentas dengan parti lawan ketika BN menjadi pembangkang di Selangor.
“Ketika itu kita belum ada lagi Kerajaan Perpaduan, saya sering dijemput oleh Bersih, Pakatan Harapan (PH) untuk berkongsi pandangan dan idea.
“Dalam konteks tersebut saya sentiasa terbuka dan saya mengalu-alukan kalau perkara ini atau inisiatif ini nak diadakan,” katanya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga mahu melihat debat secara terbuka itu menjadi budaya yang sihat, khususnya dalam menonjolkan keupayaan seseorang calon pilihan raya.
“Saya ingat sampai satu ketika nanti ianya akan menjadi satu budaya dan satu perkara yang wajib kita adakan dalam setiap pilihan raya, bukan sahaja negeri bahkan Parlimen untuk calon-calon diberikan ruang untuk berdebat.
“Cuma ia bukan menjadi budaya di negara ini berbanding negara-negara maju. Mungkin dari segi keselamatan, ada sedikit isu dalam kalangan penyokong, calon-calon dan kepimpinan (parti) tiada apa provokasi,” katanya.
Katanya lagi, untuk menjamin ketenteraman awam dan mengekalkan keselamatan, debat boleh diadakan secara dalam talian.
“Paling selamat perkara ini diadakan secara alam maya supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini
“Saya pernah cuba dalam tempoh PRU15 di Parlimen Sungai Besar, saya pernah mencadangkan supaya diadakan perdebatan ataupun perbahasan.
“Tapi dinasihatkan oleh pasukan keselamatan supaya ia tidak diadakan kerana khuatir tentang isu keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette