Gambar hiasan.

GOMBAK – Dua lelaki warga asing ditahan dipercayai mendera bayi berusia tiga bulan sehingga berlaku pendarahan pada mata kanan dan kecederaan di kepala mangsa di sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang doktor dari Hospital Ampang berhubung kejadian itu.

“Pada 3 Ogos lalu pukul 8.40 malam, pengadu telah menerima pesakit bayi lelaki warga asing itu dalam keadaan separa sedar yang dibawa ibunya untuk menerima rawatan.

“Mangsa didapati lebam di bahagian kepala, pendarahan pada mata kanan dan tidak dapat menggerakkan tangan kiri dan kanan, mangsa dicurigai didera di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, bertindak atas maklumat itu, kedua-dua suspek berusia 18 dan 20 tahun itu ditahan rumah terbabit di Jalan Pandan Indah 1/23C pukul 1.05 tengah hari tadi.

Difahamkan, ibu mangsa yang juga sepupu kepada seorang daripada suspek berusia 19 tahun tinggal bersama-sama di rumah berkenaan.

“Suspek dan ibu mangsa tinggal bersama selama tujuh hari dan menjaga bayi berkenaan semasa ketiadaan wanita itu yang pergi bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,” jelasnya.

Katanya lagi, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat esok pagi di Mahkamah Majistret Ampang. – MalaysiaGazette